SHAFIE Apdal hadir selepas dipanggil semula ke pejabat SPRM di Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
SHAFIE Apdal hadir selepas dipanggil semula ke pejabat SPRM di Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Norasikin Daineh


PRESIDEN Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, hari ini sekali lagi dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung satu kes penyelewengan lain di Sabah.

Kes itu dipercayai berkaitan siasatan kontrak penyelenggaraan universiti di negeri ini.

Difahamkan, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berusia 60 tahun itu hadir di pejabat SPRM Sabah pada 10 pagi tadi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan bekas menteri itu tidak ditahan, sebaliknya hanya dipanggil untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Setiausaha Agung WARISAN, Loretto Padua Jr pula berkata, Mohd Shafie dipanggil berhubung satu kes lama yang kini disiasat SPRM.

"Ia cuma kes kecil berhubung bil lama yang disiasat SPRM. Kami akan memberikan kenyataan media berkaitan perkara ini nanti," katanya.

Difahamkan, ia berkaitan tandatangan Mohd Shafie bagi menyokong permohonan syarikat untuk mendapatkan kontrak yang dikatakan bernilai RM43 juta ketika beliau masih menjadi menteri.

Ahli Parlimen Semporna itu sebelum ini direman lapan hari berhubung siasatan penyelewengan dana awam bernilai RM1.5 bilion di Sabah yang dilaporkan berlaku dari 2009 hingga 2015.

Bagaimanapun beliau dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM100,000 termasuk deposit RM80,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 7:17 PM