Fardy Bungga

fardyhmetro.com.my

PRESIDEN Parti Warisan Rakyat Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dibebaskan pagi ini dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas direman lapan hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana awam RM1.5 Billion di Sabah.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus yang membuat keputusan itu menetapkan jaminan RM100,000 dengan wang deposit sebanyak RM80,000 bersama dua penjamin rakyat tempatan.

Sebelum ini, Mohd Shafie ditahan selepas memberikan keterangan di pejabat SPRM Sabah pada 19 Oktober lalu sebelum direman empat hari bermula 20 Oktober hingga 23 Oktober dan disambung empat hari hingga hari ini.

Mohd Shafie diwakili peguam Loretto Padua Jr, Martin Tommy dan Zakaria Ismail, manakala SPRM oleh Pegawai Pendakwa, Mohd Faliq Basiruddin.

Ahli Parlimen Semporna itu adalah individu terakhir dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas 12 individu lain ditahan reman berhubung siasatan kes sama sejak 6 Oktober lalu.

Sebelum ini, SPRM turut menahan 12 individu termasuk adik beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal dan ahli perniagaan, Hamid Apdal serta dua bekas setiausaha Mohd Shafie yang ditahan di Putrajaya.

Individu lain yang ditahan ialah Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony; Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman; Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar; Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim; bekas setiausaha bahagian KKLW, seorang jurutera dan dua lagi ahli perniagaan.

Pembebasan bekas menteri Luar Bandar dan Wilayah itu disambut kira-kira 200 penyokong yang berhimpun di sekitar pekarangan Mahkamah Majistret seawal jam 8 pagi.

Sementara itu, peguam Mohd Shafie, Loretto berkata, Mohd Shafie akan menyertai beberapa aktiviti yang dirancang parti itu.

Katanya, belum dipastikan sama ada presiden parti itu akan ke Parlimen bagi mengikuti pembentangan Bajet 2018 petang ini.

"Kami belum tahu sama ada beliau akan ke Parlimen kerana masih banyak proses perlu dilakukan selepas ini di pejabat SPRM," katanya.

Berita berkaitan

Skandal RM1.5b: Reman Mohd Shafie disambung

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 10:41 AM