Abdullah (tengah) memeriksa mercun yang dirampas di Balai Polis Rantau Panjang. FOTO Syaherah Mustafa
Abdullah (tengah) memeriksa mercun yang dirampas di Balai Polis Rantau Panjang. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa


POLIS merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM140,000 dimuatkan dalam sebuah lori yang ditahan di Kampung Kubang Kuau, Rantau Panjang tengah hari semalam.

Dalam operasi jam 12 tengah hari itu, tiada tangkapan dibuat selepas pemandu lori sempat melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, sebelum itu, lapan anggota pasukan risik Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8, sedang membuat rondaan penguatkuasaan risik sempadan di sekitar kawasan terbabit.

Katanya, pihaknya kemudian terserempak lori terbabit yang menghala dari Bukit Pak Junoh ke Kubang Kuau dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota PGA berpatah balik sebelum mengejar lori terbabit yang masuk ke lorong di tepi jalan. Pemandu kemudian melarikan diri meninggalkan lori terbabit.

"Pemeriksaan lanjut menemui 147 kotak mercun dianggarkan bernilai RM140,000," katanya dalam sidang media di di Balai Polis Rantau Panjang, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati mercun itu untuk pasaran di Lembah Klang sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang hampir tiba.

"Kita percaya suspek yang juga penduduk tempatan menggunakan modus operandi dengan membawa masuk mercun melalui pangkalan haram sebelum dimuatkan ke dalam lori untuk pasaran ke ibu kota," katanya.

Abdullah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

"Mercun itu diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 6:04 PM