MOHAMAD Madun (tengah) menunjukkan syabu yang dirampas di Batu 2, Tawau. FOTO Norasikin Daineh
MOHAMAD Madun (tengah) menunjukkan syabu yang dirampas di Batu 2, Tawau. FOTO Norasikin Daineh
Oleh Norasikin Daineh


Tawau: Lelaki warga Indonesia ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas didapati memiliki 1.018 kilogram syabu dalam Ops Landai di Batu 2, awal pagi semalam.

Komander PPM Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata, tangkapan dibuat kira-kira 7 pagi ketika sepasukan anggotanya melakukan operasi di kawasan terbabit.

"Tangkapan dibuat selepas anggota PPM terserempak dengan lelaki berusia 33 tahun dalam keadaan mencurigakan.

"Lelaki terbabit cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota PPM tetapi gagal sebelum pemeriksaan dilakukan dan mendapati suspek membawa beg kertas berisi dua bungkusan plastik disyaki dadah jenis syabu," katanya ketika ditemui dalam majlis sidang media di pejabat PPM Tawau, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati jumlah dadah yang dibawa bernilai hampir RM100,000.

"Rampasan dadah ini adalah yang terbesar di Sabah dan kita percaya suspek menjadikan daerah ini sebagai transit dadah untuk dibawa ke Indonesia.

"Suspek direman bermula hari ini dan kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 3:40 PM