Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh asrama. FOTO Azhar Ramli
Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh asrama. FOTO Azhar Ramli
Hafizudin Mohd Safar


Padang Besar: Seorang mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh bangunan kediaman di Unicity, Sungai Chucuh, di sini, 2.45 petang tadi.

Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, penuntut lelaki terbabit dikenali sebagai Goh Xin Xi, 21, berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Katanya, mangsa yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran pada 24 April ini adalah penuntut jurusan Kejuruteraan Mekanikal (Pemesinan) semester kedua.

Beliau berkata, kejadian disedari beberapa individu yang melihat jasad seorang lelaki di lantai bangunan itu sebelum menghubungi talian kecemasan.

"Sebaik kejadian disedari, petugas UniMAP bergegas ke lokasi, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh seorang pegawai kesihatan UniMAP.

"Keluarga mangsa sudah dimaklumkan dan difahamkan bapa mangsa dalam perjalanan dari Pulau Pinang, manakala mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan siasatan kepada polis sementara aspek kebajikan penuntut terbabit termasuk pengurusan mayat akan dilaksanakan pihak UniMAP.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, siasatan awal mendapati mangsa tergelincir ketika cuba masuk ke bilik melalui beranda selepas dikatakan tertinggal kunci di dalam bilik.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 7:54 PM