ANTARA penerima sumbangan bersama pengurusan kanan UniMAP.
ANTARA penerima sumbangan bersama pengurusan kanan UniMAP.
Ruhaiza Rusmin


Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyumbang 3,449 perabot terpakai kepada beberapa sekolah dan organisasi terpilih yang memerlukan baru-baru ini. Ia sebagai memenuhi tanggungjawab sosial institusi terbabit kepada masyarakat.

Naib Canselor UniMAP Profesor Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, perabot yang masih baik itu sebelum ini adalah kelengkapan Kolej Kediaman Zon Kuala Perlis yang ditutup operasinya secara rasmi pada semester lalu.

“Antaranya katil, almari, meja dan kerusi pelajar diserahkan kepada 23 sekolah selain institusi pengajian di sekitar Perlis, Kedah serta Kelantan supaya dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“Secara tidak langsung, ia menjadi program tanggungjawab sosial korporat universiti (UCSR) yang diamalkan UniMAP sejak awal penubuhan lagi,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan itu di Kolej Kediaman Tun Dr Ismail (KKE),UniMAP.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) UniMAP Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan, Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) Dr Mohd Mizan Mohamad Aslam dan Pengerusi Majlis Pengurusan Kolej Kediaman UniMAP Hirwan Jasbir Jaafar.

Pada majlis itu, Dr Zul Azhar turut menyampaikan surat penyerahan perabot berkenaan kepada wakil sekolah yang hadir sebagai simbolik penyerahan sumbangan itu.

Sementara itu, Pengarah Pusat Ko-kurikulum UniMAP Prof Dr Zaliman Sauli yang mewakili Pengetua Pusat Dakwah Jeli, Kelantan berkata, perabot yang dibawa ke sekolah berkenaan adalah bagi melengkapkan keperluan di asrama sekolah itu.

“Sebelum ini saya pernah melawat ke asrama sekolah itu dan mendapati hanya mempunyai tilam sebagai alas tidur. Justeru 100 katil dan perabot lain yang disumbangkan ini pastinya memberi lebih keselesaan kepada pelajarnya.

“Sekolah itu juga sentiasa aktif dengan program malah sering menerima lawatan luar maka kelengkapan perabot ini juga dapat memberi kemudahan kepada pelawat yang datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 1:10 PM