ANGGOTA polis mengangkat mayat Goh yang terjatuh dari tingkat tujuh Kolej Kediaman UNIMAP.
ANGGOTA polis mengangkat mayat Goh yang terjatuh dari tingkat tujuh Kolej Kediaman UNIMAP.
Hafizudin Mohd Safar


Padang Besar: Tindakan seorang mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), cuba masuk ke dalam bilik melalui beranda selepas tertinggal kunci mengundang padah apabila dia maut akibat tergelincir dari tingkat tujuh bangunan kediaman pelajar di Unicity, Sungai Chucuh, di sini, semalam.

Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kejadian berlaku jam 2.45 petang membabitkan penuntut lelaki, Goh Xin Xi, 21, yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Katanya, mangsa adalah penuntut jurusan Kejuruteraan Mekanikal (Pemesinan) dalam semester kedua dan bakal menyambut ulang tahun kelahirannya pada 24 April ini.

“Kejadian disedari beberapa individu yang melihat seorang lelaki di atas lantai yang dipercayai jatuh dari kediaman penuntut di situ sebelum menghubungi talian kecemasan.

“Petugas UniMAP dari pusat kesihatan turut bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat, namun mangsa kemudian disahkan meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan mayatnya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis Datuk Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa tergelincir ketika cuba masuk ke dalam bilik melalui beranda selepas dikatakan tertinggal kunci di dalam bilik.

“Polis masih menyiasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 6:23 AM