Zul Fauzi (dua dari kanan) bersama kakitangan UNIMAP. FOTO Ihsan UNIMAP
Zul Fauzi (dua dari kanan) bersama kakitangan UNIMAP. FOTO Ihsan UNIMAP
Aida Adilah Mat


PEGAWAI Kebudayaan Kanan, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Mohd Zul Fauzi Mohamed Sawal mencuri tumpuan apabila muncul juara kategori “Mens Graded” di Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Malaysia Ke-40 di Sunway Mega Lanes, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Zul Fauzi, atlet boling UniMAP menewaskan lebih 500 peserta dari seluruh dunia dengan 1,679 jatuhan pin sekaligus mengatasi Muhammad Azri Azni di tempat kedua, 1,611 jatuhan pin dan Mat Salleh Jalani di tempat ketiga dengan 1,606 jatuhan pin.

“Ini adalah kejayaan yang cukup bermakna buat saya selepas beberapa siri kejohanan yang tidak memberangsangkan.

"Semoga dengan kejayaan ini akan membuka lebih banyak peluang dan kejayaan buat saya.

“Dalam permainan ia bergantung kepada kemampuan mengurangkan kesalahan. Saya akui ia memang agak membebankan apatah lagi ia kejohanan ini disertai pemain luar negara, namun konsistensi yang dicapai akhirnya membuahkan hasil,” ujarnya.

Hasil kemenangan itu Zul membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan trofi.

Selain Zul, seorang lagi staf UniMAP, Nurakmal Ramli yang menyertai kategori sama menduduki tempat ke-33.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kejohanan itu adalah platform pemanas badan buat kedua-dua pemain UNIMAP yang bakal mewakilil UniMAP ke Kejohanan Sukan Badan Berkanun yang dijadualkan berlangsung di Shah Alam, Julai depan.

“Zul Fauzi dan Nurakmal kedua-duanya antara pemain harapan UniMAP untuk mengekalkan pingat emas diraih dalam kejohanan edisi sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 3:18 PM