Kalidevi Mogan Kumarappa


SEMUA anggota dan pegawai polis akan menjalani latihan untuk menghadapi lima fasa menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, lebih 60,000 anggota dan pegawai akan disiapsiagakan dengan kursus serta latihan termasuk berkaitan undang-undang umum dan peraturan pilihan raya.

Menurutnya, persediaan ini turut membabitkan unit khas seperti Pasukan Anti Rusuhan (PORU) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

"Meskipun tarikh pilihan raya belum diumumkan, semua tenaga kerja PDRM perlu disiapkan dalam usaha menghadapi lima fasa iaitu sebelum pengumuman tarikh, hari penamaan calon, musim kempen, hari pengundian dan selepas pengundian.

"Polis juga akan membuat latihan ketenteraman awam membabitkan semua pasukan dalam PDRM dan latihan bersepadu dengan agensi keselamatan berkaitan sebagai persediaan dalam menangani isu ketenteraman awam," katanya pada sidang media, hari ini.

Sebelum itu Zulkifli menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur dan Timbalannya di Mess Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, Datuk Mazlan Lazim menerima tugas sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur menggantikan Datuk Amar Singh yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman manakala Datuk Zainuddin Yaacob sebagai timbalan Mazlan secara rasmi bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 8:30 PM