ANUAR (tengah) memberi taklimat kepada anggotanya pada Majlis Penutupan Kursus Ulangkaji Anggota LSF.
ANUAR (tengah) memberi taklimat kepada anggotanya pada Majlis Penutupan Kursus Ulangkaji Anggota LSF.
Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Polis Pulau Pinang sudah bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 menerusi latihan intensif Unit Tindakan Ringan (LSF).

Ia sebagai pendedahan awal kepada seluruh anggota di peringkat Ibu Pejabat Daerah Timur Laut (IPDTL) di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, latihan selama tiga hari yang diadakan di IPDTL bermula Isnin hingga kelmarin itu membabitkan 72 anggota polis berpangkat konstabel dan koperal dari sembilan balai polis di daerah Timur Laut.

Beliau berkata, antara balai polis yang terbabit adalah Balai Polis Lebuh Pantai, Central, Pulau Tikus, Air Itam, Sungai Nibong, Jelutong, Jalan Patani, Datuk Keramat dan Tanjung Tokong.

Katanya, tujuan utama latihan itu diadakan adalah bagi mendedahkan seluruh anggota berkaitan kuasa polis dan hak mempertahankan diri serta kuasa melepaskan tembakan dan penggunaan senjata api.

“Ia juga bertujuan memberi pendedahan kepada mereka berkaitan taktik dan teknik pencegahan rusuhan berlandaskan undang-undang mengikut Seksyen 83 dan 84 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Penutupan Kursus Ulangkaji LSF di sini IPDTL di sini semalam.

Anuar berkata, pasukan LSF amat penting dalam sesebuah daerah kerana ia adalah pasukan barisan hadapan yang utama dalam mengawal rusuhan dan ketenteraman awam sebelum diambil alih Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

“Kita sedia maklum bahawa PRU14 dijangka menjadi PRU paling mencabar dalam sejarah negara dan pendedahan ilmu LSF adalah penting,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 6:36 AM