Tan Sri Khalid Abu Bakar

Salam sejahtera dan salam 1Malaysia buat pembaca budiman. Untuk kali ini, saya ingin memperkenalkan Pusat Latihan Pasukan Simpanan Persekutuan (PLPSP) yang sinonim dengan nama Pusat Latihan Federal Reserve Unit (PLFRU), Ipoh, Perak. PLPSP ini adalah satu-satunya institusi latihan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberi latihan taktik dan teknik kawad cegah rusuhan kepada pasukan pencegah rusuhan iaitu Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Public Order Riot Unit (PORU) dan juga Light Strike Force (LSF) PDRM. Sebenarnya, sejarah kewujudan pusat latihan ini berkait rapat dengan sejarah penubuhan dan perkembangan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) itu sendiri.

Pada era 1950-an, insiden mogok, perarakan dan rusuhan adalah peristiwa yang sering berlaku di seluruh negara, berbangkit daripada isu perkauman, keagamaan dan peranan gerak saraf Parti Komunis Malaya (PKM) yang menggerakkan mogok dalam kesatuan sekerja. Pasukan Polis pada ketika itu tidak mempunyai pasukan pencegah rusuhan yang tersusun dan sempurna untuk menangani insiden berkenaan. Oleh yang demikian, PSP atau lebih dikenali sebagai Federal Reserve Unit (FRU) ditubuhkan pada Disember 1955 secara khusus untuk menangani situasi ketenteraman awam.

Kumpulan perintis yang terdiri daripada seorang pegawai berpangkat inspektor, seorang sarjan mejar dan lima sarjan dihantar untuk mengikuti kursus di Police Training Center Mount Vernon, Singapura, untuk mempelajari teknik, taktik, peraturan dan tindakan di dalam Kawad Rusuhan (Riot Unit Drill). Pegawai dan anggota ini pulang ke tanah air dengan memikul tanggungjawab melatih pegawai dan anggota PSP melalui penubuhan Sel Latihan di dalam organisasi unit PSP di Kuala Lumpur.

Pada 1975, Sel Latihan PSP ditempatkan di PSP Unit 5 Ipoh Perak dan kemudahan latihan adalah secara guna sama prasarana yang ada di formasi itu. Ketika itu, Sel Latihan berkenaan diletakkan di bawah kawalan Komander PSP, sebagai pegawai latihan kepada unit PSP dan bertanggungjawab terus kepada Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Bagi memenuhi cabaran semasa, pucuk pimpinan PDRM ketika itu berpendapat amatlah perlu ditubuhkan sebuah pusat latihan yang lebih sempurna organisasinya, untuk melatih trup PSP, unit PORU dan LSF di seluruh negara. Maka pada 1 April 1977, Sel Latihan PSP ini dinaik taraf dan dikenali sebagai Sekolah Latihan Pasukan Simpanan Persukutuan (SLPSP). Seiring dengan itu juga, kekuatan pegawai dan anggota bertambah kepada 25 orang yang terdiri seorang pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP) selaku Komandan dan dua sarjan mejar untuk mengendalikan aspek pengurusan dan pentadbiran, 10 sarjan sebagai jurulatih, 10 koperal sebagai penolong jurulatih, seorang konstabel selaku penjaga stor dan seorang pegawai awam.

Sejajar dengan penambahan dan pembesaran unit PSP pada 2003, Pusat Latihan PSP diberi penambahan kekuatan keanggotaan kepada 31 orang dan pangkat Komandan dinaikkan dari ASP ke Deputi Superintendan (DSP) sehinggalah kini.

Pada 22 September 2006 Sekolah Latihan PSP dinaik taraf dari sekolah latihan kepada status pusat latihan. Ketua Polis Negara pada ketika itu, Tan Sri Musa Hassan menyempurnakan majlis perasmian naik taraf ini di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta, Perak.

Pada 15 Januari 2009, PLPSP ini diberikan sebuah bangunan empat tingkat secara khusus untuk dijadikan bangunan pentadbirannya yang mengandungi pejabat pentadbiran, pejabat jurulatih, stor bekalan, kelas syarahan, bilik taklimat dan lain-lain kemudahan bagi kegunaan kakitangan, jurulatih dan peserta kursus. Buat masa ini kemampuan Pusat Latihan ini boleh menampung 60 peserta kursus pada satu-satu masa.

PLPSP ini bertanggungjawab menganjur dan mengendalikan kursus Ketenteraman Awam dalam pasukan PDRM seperti Kursus Asas/Lanjutan PSP, PORU dan LSF. Selain daripada memberi latihan kepada trup PSP, Unit Poru dan LSF, PLPSP juga pernah diberi tanggungjawab untuk melatih pegawai polis dari Bangladesh, Sri Lanka, Laos, Fiji, Thailand dan Timor Leste.

Di antara kursus yang dianjurkan pusat latihan ini adalah:

1. Kursus Asas PSP

2. Kursus Pengendalian Water Cannon

3. Kursus Seksyen Komander Gempur PSP

4. Kursus Pencatat Diari

5. Kursus Paramedik Medan PSP

6. Kursus Ketua Ronda Kaki

7. Kursus Jurulatih PSP

8. Kursus Jurulatih PORU

9. Kursus Jurulatih LSF

10. Kursus Pengendalian Bilik Gerakan PSP; dan

11. Kursus Penjaga Trup

Sejajar dengan berkuat kuasanya Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012), pusat latihan ini membuat kajian untuk melakukan transformasi terhadap latihan taktik dan teknik kawad cegah rusuhan yang menepati kehendak APA 2012. Kaedah dan tatacara kawad baru diolah berdasarkan model kawad cegah rusuhan dari luar negara dan disesuaikan dengan kawad cegah rusuhan sedia ada.

Transformasi kawad cegah rusuhan baru ini sudah dikembangkan latihannya kepada trup PSP secara berperingkat. Penekanan dalam tatacara kawad ini menjurus kepada aspek memelihara dan menghormati hak asasi manusia yang perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab menjaga ketenteraman awam.

Saya bangga kerana PLPSP sudah berjaya membawa PSP melalui satu transformasi yang bakal meletakkan PDRM sebagai sebuah organisasi kepolisan yang dihormati dan disanjung tinggi. Dalam keadaan yang ‘volatile’ ketika berhadapan dengan situasi ketenteraman awam, warga PSP menunjukkan profesionalisme dan ketahanan diri yang tinggi dalam mengawal keadaan melalui penggunaan daya kuasa yang minima, bersikap adil dan bertindak mengikut keadaan serta berlandaskan undang-undang dan piawaian antarabangsa, syabas, saya ucapkan.

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 1:40 AM