BERNAMA

Alor Setar: Seramai 2,443 pegawai dan anggota polis Kedah ditempatkan di 15 pusat penamaan calon di seluruh negeri, Sabtu ini bagi memastikan proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berjalan lancar.

Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata ia turut membabitkan unit Pasukan Simpanan Bersekutu (PSP), Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) dan Unit Tempur Ringan (LSF).

"Seramai 298 pegawai dan 2,145 anggota akan bertugas sepanjang proses penamaan calon. Bagi memastikan proses berjalan lancar, tali polis dan penghadang akan diletakkan selain anggota akan ditempatkan di tengah-tengah penghadang.

"Langkah itu dibuat bagi memastikan keadaan dapat dikawal dengan segera sekiranya berlaku sebarang provokasi daripada pihak tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan simulasi ketenteraman awam yang disertai lebih 200 pegawai dan anggota polis di hadapan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah yang diadakan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan pada hari penamaan calon.

Sementara itu, Wan Hassan berkata ketua polis daerah juga telah diarahkan membuat perjumpaan dengan wakil calon di kawasan masing-masing untuk memberi maklumat mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa hari penamaan calon.

"Semasa tempoh berkempen, jangan hanya kerana tidak berpuas hati dengan lokasi pemasangan bendera parti menyebabkan berlaku pergaduhan dan kalau hendak buat ceramah, pastikan mohon permit yang sah daripada pihak polis.

"Polis ingin menasihatkan orang ramai dan parti-parti politik yang bertanding untuk mematuhi arahan, peraturan dan larangan semasa hari penamaan calon, tempoh berkempen dan hari penjumlahan undi. Parti politik juga dinasihatkan untuk memahami sensitiviti setempat dan mengelakkan provokasi," katanya.

WAN Hassan memberi penerangan kepada 200 pegawai dan anggota PDRM Kedah selepas melakukan simulasi ketenteraman awam sebagai persediaan awal. FOTO Bernama
WAN Hassan memberi penerangan kepada 200 pegawai dan anggota PDRM Kedah selepas melakukan simulasi ketenteraman awam sebagai persediaan awal. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 1:50 PM