Melvin Joni


Sibu: Seorang pekerja Sarawak Energy meninggal dunia di sini, selepas dipercayai berendam di dalam air ketika badannya masih dalam kepanasan, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sibu, jam 3.15 petang.

Beliau berkata, berdasarkan laporan berkenaan, seorang lelaki pengsan di dalam hutan Jalan Paradom/ Tanjung Genting Bintangor.

Katanya, hasil siasatan awal, mangsa yang berusia 52 tahun bersama-sama beberapa orang rakan sekerjanya bertugas menyelenggara pencawang elektrik di kawasan kejadian.

"Menurut saksi, ketika kejadian, cuaca panas terik dan mangsa masuk untuk berendam ke dalam sungai berhampiran pencawang elektrik berkenaan.

"Apabila keluar dari sungai, mangsa mengadu seakan-akan mahu pitam dan terus pengsan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkipli berkata mangsa disahkan meninggal dunia pada 4.59 petang oleh paramedik dari Hospital Sibu.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 10:00 AM