Putrajaya: Bagi membantu golongan dalam kumpulan 40 peratus terendah (B40) dalam piramid pendapatan meningkatkan taraf kehidupan, kerajaan akan melaksanakan eRezeki bagi membolehkan mereka memperoleh pendapatan tambahan purata RM6,000 setahun menjelang 2020.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, inisiatif baharu di bawah Digital Malaysia itu akan menghubungkan komuniti B40 di negara ini dengan pendapatan digital tempatan dan global.

“eRezeki akan dilaksanakan di beberapa Pusat Kerja Digital termasuk Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Pusat Transformasi Bandar (UTC), kolej dan universiti serta masjid untuk memberi kesan kepada isi rumah berpendapatan rendah di dalam dan luar bandar.

“Ia termasuk satu siri Program Keupayaan Digital yang akan melatih dan memadankan 400,000 ahli komuniti B40 dengan keupayaan melakukan tugas mikro dari sumber dalam dan luar negara, sekali gus membantu mereka mendapat pendapatan tambahan purata RM6,000 setahun menjelang 2020,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC) kali ke-26 Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi MDeC Tan Sri Abdul Halim Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MDec Datuk Yasmin Mahmood.

Najib berkata, inisiatif berkenaan akan dilancarkan tidak lama lagi.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut memutuskan sebahagian daripada data sulit kerajaan akan didedahkan kepada orang awam bagi menunaikan janji kerajaan mengutamakan rakyat dalam penyampaian perkhidmatan.

“Justeru, kami meluluskan inisiatif Transformasi Kerajaan Digital yang akan memberikan nafas baru dalam sistem penyampaian perkhidmatan atas talian, infrastruktur komunikasi dan pembangunan modal insan.

“Berikutan itu, ia akan beranjak dari penarafan dalaman berasaskan penyedia semasa kepada penilaian berasaskan pengguna yang memberi tumpuan kepada kepuasan rakyat,”katanya.

Najib berkata, bagi memacu pertumbuhan ekonomi Digital Malaysia, pembangunan dan promosi hab teknologi utama untuk industri teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) akan dipertingkatkan.

Sehubungan itu, katanya beberapa keputusan sudah diambil untuk memperkukuhkan MSC Malaysia dalam bidang pengkhususannya termasuk menjadikan Malaysia sebagai hab global pengkomputeran awan (cloud) dan perkhidmatan kandungan dengan mewujudkan hab data trafik.

“Kerajaan turut meluluskan penubuhan Pusat Kandungan Kreatif Malaysia yang akan menjadi badan penyelaras sehenti untuk merangsang pembangunan Kandungan Malaysia.

“Selain itu, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melantik Ketua Saintis Data memandangkan perkembangan pesat MSC Malaysia serta sektor digital di negara ini, dan cadangan itu akan dikemukakan kepada Kabinet untuk pelantikan dalam tempoh terdekat,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:11 AM