TIMBALAN Presiden Kumpulan Bisnes AI dan Cloud Huawei Malaysia, Lim Chee Siong (dua dari  kanan) dan Dr Mohamad Abdul Karim (dua dari kiri) pada majlis menandatangani MoU.
TIMBALAN Presiden Kumpulan Bisnes AI dan Cloud Huawei Malaysia, Lim Chee Siong (dua dari kanan) dan Dr Mohamad Abdul Karim (dua dari kiri) pada majlis menandatangani MoU.
Rosyahaida Abdullah


Kuala Lumpur: Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik) bagi membangunkan penyelesaian lebih inovatif dalam industri digital secara bersama.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Yuan berkata, menerusi MoU itu, beberapa perkara disasar untuk diterokai dan dibangunkan termasuk platform digital pendidikan, ekosistem kehidupan pintar serta automasi dalam pembuatan.

Jelasnya, kerjasama juga memberi tumpuan kepada tiga agenda utama iaitu teknologi 5G, Kecerdasan Buatan (AI) dan penstoran awan (Cloud).

"Walaupun spektrum 5G di Malaysia belum dikeluarkan kerajaan, ia tidak bermakna usaha kami ke arah 5G terhenti kerana 4G LTE, kabel gentian dan semua kesalinghubungan sedia ada boleh dimanfaatkan.

"Untuk Cloud, kami melihat kos yang kebiasaannya tinggi ditanggung syarikat untuk mewujudkan persekitaran penyelidikan dan pembangunan (R&D) dapat dikurangkan menerusi teknologi ini.

"Namun, tentu platform pengkomputeran Cloud sahaja tidak cukup dan di sini kita memerlukan lebih banyak AI untuk meningkatkan kecekapannya yang mana ia diterjemah melalui kerjasama ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani MoU terbabit mewakili Huawei bersama Serba Dinamik yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah.

Hadir sama, Naib Presiden Pembangunan Pelaburan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Hew Wee Choong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 7:05 AM