GAMBAR hiasan. Google Workspace. FOTO Google
GAMBAR hiasan. Google Workspace. FOTO Google
BERNAMA

Kuala Lumpur: Google Cloud dan Axiata Enterprise, anak syarikat perniagaan-kepada-perniagaan Axiata Group Bhd (Axiata) mengumumkan perkongsian strategik untuk memenuhi keperluan jutaan syarikat di seluruh ekonomi pendigitalan yang pesat di Asia.

Penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan itu berkata, perkongsian itu akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan fasa pertama akan menyaksikan syarikat telekomunikasi digital Axiata menawarkan Google Workspace sebagai sebahagian daripada portfolio teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bersepadu dan penyelesaian kepada perniagaan kecil dan sederhana.

"Ia akan dimulakan oleh Dialog di Sri Lanka dengan pelaksanaan yang dijadualkan pada suku kedua tahun ini, diikuti Celcom di Malaysia, XL di Indonesia, Robi di Bangladesh, Ncell di Nepal dan Smart di Kemboja pada separuh kedua tahun ini," menurut kedua-dua pihak dalam kenyataan bersama hari ini.

Menerusi fasa kedua perkongsian itu, syarikat telekomunikasi digital Axiata akan terus memanfaatkan kemampuan pengiraan, penyimpanan dan rangkaian utama Google Cloud untuk memodenkan infrastruktur mereka dan memacu inisiatif transformasi digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Enterprise Dr Gopi Kurup berkata, Axiata dan Google Cloud berkongsi visi untuk membantu mendigitalkan dan mengembangkan perniagaan memandangkan mereka membina daya tahan yang lebih baik untuk jangka panjang.

"Susulan langkah negara meningkatkan pendigitalan untuk pemulihan dan pertumbuhan ekonomi, kami berpendirian untuk menyokong perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana dalam usaha mereka untuk menyesuaikan dan mengamalkan norma digital baharu agar terus bertahan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Google Cloud bagi Asia Tenggara, Ruma Balasubramanian berkata, syarikat itu teruja untuk bekerjasama dengan Axiata bagi mempercepatkan transformasi digital kepada jutaan syarikat di rantau ini dan membantu mereka untuk menangani cabaran perniagaan dan teknologi yang sukar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 1:33 PM