PEGAWAI KPDNKK Selangor melakukan pemeriksaan di  stesen minyak bagi memastikan bekalan petrol dijual berterusan.
PEGAWAI KPDNKK Selangor melakukan pemeriksaan di stesen minyak bagi memastikan bekalan petrol dijual berterusan.
Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Tamak dan cuba menipu. Itu dilakukan tiga pengusaha stesen minyak di Selangor yang dikesan sengaja enggan menjual petrol kepada pengguna.

Jurucakap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor berkata, tindakan itu dibongkar hasil pemantauan dijalankan pihaknya selepas penurunan harga minyak sejak 1 Februari lalu.

Menurutnya, 290 stesen minyak diperiksa di seluruh Selangor selepas perubahan harga baru diumumkan pihak kerajaan.

“Tiga stesen minyak terletak di Kapar, Petaling Jaya dan Kuala Selangor itu didapati sengaja enggan menjual petrol walaupun pemeriksaan mendapati mereka mempunyai simpanan petrol di dalam tangki.

“Mengikut syarat, mereka tidak boleh gagal membekal minyak petrol atau diesel kepada pelanggan dan perlu sentiasa memastikan bekalan barang kawalan itu mencukupi setiap masa,” katanya.

Dia berkata, pengurus stesen minyak terbabit memberi pelbagai alasan ketika operasi pemeriksaan dilakukan KPDNKK Selangor.

“Siasatan dijalankan untuk mengenal pasti sama ada pemilik stesen minyak ini sengaja tidak membuat pesanan petrol ataupun menyimpan petrol untuk mengelakkan kerugian akibat penurunan harga petrol,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan dan tindakan boleh diambil sekiranya mereka didapati sengaja menyembunyikan petrol.

“Tindakan boleh dikenakan mengikut Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan jika sabit kesalahan mereka berdepan hukuman didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Berdasarkan lesen runcit petroleum dikeluarkan kepada pengusaha stesen minyak, mereka perlu memastikan bekalan sentiasa ada dan peraturan itu diwajibkan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan akan dijalankan berterusan bagi memastikan stesen minyak di negeri ini mempunyai bekalan mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 6:43 AM