ANGGOTA penguatkuasa KPDNHEP cawangan Tanah Merah menunjukkan tangki ubahsuai di bahagian tempat duduk penumpang belakang kenderaan. FOTO IHSAN KPDNHEP
ANGGOTA penguatkuasa KPDNHEP cawangan Tanah Merah menunjukkan tangki ubahsuai di bahagian tempat duduk penumpang belakang kenderaan. FOTO IHSAN KPDNHEP
Siti Rohana Idris


TINDAKAN lelaki melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa di stesen minyak Kampung Jedok di Tanah Merah membongkar kegiatannya terbabit dalam penyeludupan petrol.

Dalam operasi 11 pagi, sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan pemeriksaan di beberapa stesen minyak di kawasan itu.

Ketua Cawangan KPDNHEP cawangan Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata, pihaknya kemudian mendapati seorang lelaki berusia 26 tahun berada dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun, suspek menyedari kehadiran anggota penguat kuasa bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kereta Proton Iswara itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek mengisi petrol RON95 dalam anggaran 365 liter dan terdapat tangki yang diubahsuai di but belakang kereta itu.

“Suspek dipercayai warganegara tempatan berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemui ditinggalkan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya kemudian mengambil keterangan pemilik stesen minyak berkenaan kerana disyaki melakukan kesalahan dengan melanggar arahan Pengawal Bekalan Malaysia.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 5:30 PM