CALON PT3 Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.
CALON PT3 Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: “Walaupun ia cuma peperiksaan di peringkat menengah rendah, saya perlu mendapat keputusan cemerlang supaya menjadi contoh kepada adik-beradik lain dan menggembirakan hati orang tua saya,” itu tekad Muhammad Iqbal Fahim Shah Yusnaidi, 15, yang menduduki ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), semalam.

Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Setiawangsa itu berkata, dia mahu memperoleh 10A sebagai laluan pertama untuk menyambung pengajian dalam jurusan seni bina.

“Sebagai anak sulung, saya perlu menjadi contoh yang baik kepada lima adik-beradik lain dan tidak mahu menghampakan harapan orang tua.

“Saya mahukan 10A sebagai permulaan supaya dapat mengejar impian menjadi arkitek berjaya satu hari nanti,” katanya.

Menurutnya, walaupun agak gementar, namun dia mampu melawan perasaan itu dengan baik selepas mendapat sokongan daripada ibu bapa dan guru.

“Saya sudah membuat persiapan sejak awal tahun lagi dan berharap ia dapat membantu saya menjawab dengan lebih yakin dan baik,” katanya ketika ditemui di sekolah itu, semalam.

Tinjauan Harian Metro di sekolah itu mendapati seawal jam 7 pagi pelajar sudah hadir ke sekolah.

Seramai 307 pelajar dari 10 kelas di sekolah itu kelihatan tenang menjalani sesi taklimat terakhir dan turut diadakan bacaan doa sebagai persediaan sebelum memasuki dewan peperiksaan sejam kemudian.

Setiausaha PT3 sekolah berkenaan, Tuti Azuraidah Nasir berkata, mereka turut mengagihkan sarapan serta alat tulis secara percuma sumbangan bekas guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai galakan supaya pelajar lebih bersedia menghadapi peperiksaan.

“Bagi pihak sekolah, kita sudah membuat persediaan awal melalui beberapa program seperti gerak gempur menggunakan soalan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) selain kelas tambahan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta Sabtu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 4:14 AM