Mahaizura Abd Malik

SERAMAI 425,251 calon mula menduduki ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di pusat peperiksaan seluruh negara pagi ini.

Peperiksaan memasuki tahun ketiga itu menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sejak 2014 dengan Bahasa Melayu dan Matematik sebagai kertas pertama diikuti Bahasa Inggeris dan Sains pada esok.

Menurut Kementerian Pendidikan (KPM) daripada jumlah keseluruhan calon yang mengambil peperiksaan itu, seramai 394,458 dari sekolah kerajaan, 6,570 (calon dibawah agensi kerajaan), 9,034 (calon sekolah agama negeri) manakala 10,949 adalah calon sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

Selain itu, seramai 2,540 dari sekolah agama rakyat, 1,091 (sekolah swasta tidak berdaftar dengan KPM), 544 lagi adalah calon persendirian manakala 65 calon pula dari sekolah integriti atau asrama akhlak serta tunas bakti.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Setiawangsa di sini, mendapati seawal jam 7 pagi pelajar sudah hadir ke sekolah.

Seramai 307 pelajar dari 10 kelas di sekolah itu kelihatan tenang menjalani taklimat terakhir dan turut diadakan bacaan doa sebagai persediaan sebelum memasuki dewan peperiksaan sejam kemudian.

Setiausaha PT3 sekolah berkenaan,Tuti Azuraidah Nasir berkata, sesi taklimat itu adalah sebagai peringatan akhir mengenai tatacara menduduki ujian bertulis itu dan motivasi untuk menenangkan fikiran pelajar sebelum memasuki dewan peperiksaan.

"Sepanjang sesi ini, kita memberikan sedikit penerangan ringkas mengenai tatacara menduduki peperiksaan dan memberi kata perangsang kepada pelajar.

"Pada masa sama, kita juga mengedarkan roti dan air minuman untuk sarapan serta alat tulis secara percuma sebagai galakan supaya mereka lebih bersedia menghadapi peperiksaan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 11:29 AM
Calon PT3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Setiawangsa membaca doa sebelum memasuki dewan peperiksaan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Calon PT3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Setiawangsa membaca doa sebelum memasuki dewan peperiksaan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali