Muhammad Ariff Jazlan (tengah) berkongsi kejayaan bersama ibu bapanya selepas memperoleh keputusan 10A dalam PT3, hari ini. FOTO Muhammad Sulaiman
Muhammad Ariff Jazlan (tengah) berkongsi kejayaan bersama ibu bapanya selepas memperoleh keputusan 10A dalam PT3, hari ini. FOTO Muhammad Sulaiman
Ayusliza Azizan


MENGULANGKAJI mata pelajaran setahun lebih awal antara teknik belajar yang dipraktikkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jelutong, Shah Alam, Muhammad Ariff Jazlan Johan, 15, yang memperoleh 10A dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), hari ini.

Kaedah itu menjadikan Muhammad Ariff sebagai tempat rujukan rakan-rakannya sejak ketika menuntut di tingkatan dua lagi.

"Sejak di tingkatan dua, saya sudah mengulangkaji mata pelajaran tingkatan tiga dan ketika naik tingkatan tiga, saya hanya buat ulangkaji saja kerana kebanyakannya saya sudah baca sebelum itu.

"Saya suka belajar cara seperti ini dan saya hanya bertanya guru jika ada subjek yang tidak difahami," katanya ketika ditemui di sekolah itu, hari ini.

Anak kedua daripada tiga beradik itu gembira apabila jangkaan mendapat keputusan terbabit menjadi kenyataan malah bangga kerana berjaya mengikut langkah abangnya yang kini sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain akademik, Muhammad Ariff juga cemerlang dalam aktiviti kokurikulum dan dia juga pernah menang dalam pertandingan Astar Scrable peringkat antarabangsa anjuran Universiti Malaya, Mei lalu.

Sementara itu, bapanya, Johan Abdul Jalil, 52, berkata, dia bersyukur apabila usaha anaknya membuahkan hasil dan berharap ia berterusan sehingga SPM.

Katanya, dia dan isteri, Aiza Marina Zakaria, 43, mendidik anak-anak membuat persediaan awal supaya sentiasa bersedia.

"Saya juga menerapkan kepada anak-anak tidak belajar semata-mata untuk peperiksaan malah mahu mereka sentiasa mencuba sesuatu yang baru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 4:11 PM