TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Seorang wanita tidak dapat menahan air matanya selepas Hakim Mahkamah Tinggi di sini, semalam menjatuhkan hukuman mati kepada seorang lelaki selepas didapati bersalah membunuh adik kandungnya, dua tahun lalu.

Wanita yang enggan dikenali itu adalah isteri kepada mangsa dan juga adik ipar tertuduh, M Nageswaran, 41, dari Jalan Kota Raja, Klang, yang didakwa membunuh M Gunalan, 37, di No 16 C, Lot 1592, Batu 3 1/2, Kampung Jawa, jam 5.30 petang, 5 Mei 2015.

Hakim Zulkifli Bakar membuat keputusan pada akhir kes pembelaan selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Beliau berkata, pendakwaan terhadap tertuduh dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Perbicaraan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati.

“Pembelaan tertuduh adalah penafian, pembelaan menuduh SP10 (saksi pendakwaan) menyebabkan kematian si mati.

“Keterangan tertuduh dalam pembelaan tidak boleh diterima mahkamah,” katanya.

Tertuduh diwakili peguam bela S Ravichandran dan seramai 15 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan berlangsung.

Ketika ditemui di luar mahkamah, wanita berkenaan melahirkan rasa syukur selepas hukuman berkenaan dijatuhkan kepada tertuduh.

“Sebelum ini mereka adik-beradik memang ada masalah berkaitan harta dan selepas bapa mentua meninggal dunia, mereka mahu membahagikan harta sedangkan kes di mahkamah sedang berjalan.

“Saya tak tahulah macam mana abang sendiri boleh ‘potong’ adik sendiri, ada ke manusia seperti ini, dari kecil main sama, makan sama, saya terperanjat dia boleh buat adik sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 5:46 AM