Izlaily Nurul Ain Hussein


PEKERJA cuci kereta dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru, hari ini selepas didapati bersalah mengedar 99.16 gram methamphetamine, dua tahun lalu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, S Satha Sivam, 44, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan dihadapi lelaki itu di akhir kes pembelaan.

Pada masa sama, Collin menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tiada faktor yang menunjukkan tertuduh memenuhi syarat wajib kepada pindaan terhadap hukuman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang mana mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara dan mengetepikan hukuman gantung sampai mati.

“Selepas meneliti semua keterangan dan mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan.

“Mahkamah juga mendapati tidak terdapat faktor keterangan tertuduh yang memenuhi kepada syarat wajib bagi pindaan hukuman seksyen ini, oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap tertuduh,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya itu di bilik di tingkat atas kopitiam di Jalan Meldrum di Johor Bahru, kira-kira 7.40 malam, 9 September 2016.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Nur Zafirah Norizan yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara dan berhujah anak guamnya memenuhi dua syarat pilihan mengikut pindaan hukuman seksyen berkenaan.

“Anak guam saya memenuhi dua syarat pilihan iaitu kes ini tidak membabitkan jual beli dadah dan tiada ejen yang terbabit, malah tertuduh juga memberikan kerjasama sepanjang siasatan kes dihadapinya,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Iffa Zarilla Abd Rahman menghujahkan bahawa elemen pindaan adalah tidak dipenuhi oleh pihak pembelaan.

“Pendakwaan mendapati hanya dengan memberikan kerjasama sepanjang siasatan tidak cukup untuk memenuhi syarat wajib dalam pindaan hukuman seksyen ini iaitu tiada bukti yang boleh membawa kepada hal membanteras kegiatan dadah itu,” katanya.

Seramai enam saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding perbicaraan kes itu yang bermula pada 15 Oktober 2017, manakala hanya dua saksi pembelaan dikemukakan iaitu tertuduh dan abangnya.

Difahamkan, polis yang pergi ke bilik berkenaan menjumpai beg silang di atas katil dan dalam beg berkenaan terdapat tiga plastik lutsinar mengandungi hablur kristal disyaki dadah berbahaya, pasport tertuduh, laporan polis nama tertuduh, kertas tempahan pengeposan atas nama tertuduh, anak kunci dan wang tunai berjumlah RM2,114.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 12:47 PM
PEKERJA kedai cuci kereta, S Satha Sivam, 44, dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas didapati bersalah mengedar 99.16 gram methamphetamine, dua tahun lalu. FOTO Zain Ahmed
PEKERJA kedai cuci kereta, S Satha Sivam, 44, dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas didapati bersalah mengedar 99.16 gram methamphetamine, dua tahun lalu. FOTO Zain Ahmed