Samsuddin (kanan) mendengar penerangan mengenai lukisan Datuk Seri Vida yang dihasilkan Nik Nor Farhana (tengah).
Samsuddin (kanan) mendengar penerangan mengenai lukisan Datuk Seri Vida yang dihasilkan Nik Nor Farhana (tengah).
  Lukisan jaguh sukan negara di Pameran Seni Visual STPM SMK Sultan Sulaiman.
Lukisan jaguh sukan negara di Pameran Seni Visual STPM SMK Sultan Sulaiman.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: “Dua bulan saya mengambil masa menyiapkan lukisan idola saya ini. Sepanjang tempoh itu, saya berasa teruja dan bermotivasi untuk menjadi seorang yang berjaya sepertinya,” kata calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Nik Nor Farhana Alia Mohamad Hasim, 19, seorang daripada 19 pelajar yang mempamerkan hasil seni lukisan dan arca di Pameran Seni Visual Pra-U di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, di sini, semalam.

Pelajar tingkatan enam atas SMK Sultan Sulaiman itu memilih tokoh usahawan terkenal yang juga pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali Datuk Seri Vida untuk dilukis bagi memenuhi syarat peperiksaan subjek Seni Visual STPM bertemakan Bangkit.

Nik Nor Farhana berkata, dia bukan hanya melukis gambar Datuk Seri Vida malah turut membuat kajian menyeluruh mengenai latar belakang, perjalanan hidup dan rahsia kejayaan usahawan itu sehingga dikenali sebagai usahawan berjaya di negara ini.

“Saya memilih Datuk Seri Vida kerana mengenangkan perjalanan hidupnya yang bermula dari bawah sebelum terbabit dengan perniagaan sehingga berjaya seperti sekarang.

“Sangat teruja kerana berpeluang melukis gambarnya malah populariti beliau membuatkan lukisan yang dihasilkan ini mendapat perhatian termasuk rakan pelajar dan guru,” katanya.

Menurutnya, dia berasa sangat teruja dan bertuah sekiranya Datuk Seri Vida dapat meluangkan masa melihat karya seninya, seterusnya dihargai usahawan terkenal.

“Walaupun lukisan yang dihasilkan ini mungkin tidak seperti pelukis profesional, ia cukup bermakna kepada saya. Lukisan Datuk Seri Vida ini menggambarkan kejayaan anak Melayu dalam perniagaan dan boleh menjadi contoh serta memberi motivasi kepada semua pelajar,” katanya.

Seorang lagi calon STPM, Toh Ai Tee, 19, dari Kampung Batas Baru pula memilih wajah bekas Perdana Menteri dan negarawan untuk dilukis bagi subjek Seni Visual STPM itu.

“Walaupun agak mencabar untuk melukis potret bekas Perdana Menteri, saya tidak menghadapi sebarang masalah selain turut menghasilkan lukisan bertemakan Perpaduan Kaum Ke Arah Kemerdekaan.

“Melalui lukisan ini saya dapat menerapkan pelbagai unsur yang merujuk kepada sesuatu kaum seperti tarian naga dan permainan tradisional,” katanya.

Menurutnya, pameran itu secara tidak langsung menghargai karya seni yang dihasilkan semua pelajar yang mengambil mata pelajaran Seni Visual.

Katanya, penganjuran pameran seumpamanya pada tahun lalu memberi motivasi kepada pelajar untuk menghasilkan lukisan menarik untuk pameran tahun ini.

Sementara itu, Pengetua SMK Sultan Sulaiman Samsuddin Ismail berkata, pameran yang dianjurkan itu bertujuan memberi pendedahan kepada semua pelajar selain menghargai karya yang dihasilkan semua 19 pelajar yang menduduki peperiksaan STPM bagi mata pelajaran Seni Visual tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 6:14 AM