ABU Bakar bersama sijil dan pingat dibawa pulang sepanjang pembabitannya dalam acara larian.
ABU Bakar bersama sijil dan pingat dibawa pulang sepanjang pembabitannya dalam acara larian.
Ahmad Ismail

Segamat: Usianya sudah mencecah 70 tahun, namun status warga emas dipegang datuk kepada tujuh cucu ini bukan pemutus dirinya untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti sukan, malah kemampuannya bersaing dengan kelompok pelari muda bagi pertandingan maraton sangat dikagumi.

Bagi Abu Bakar Hussein, tidak ada rahsia diamalkannya, melainkan kerap berselawat ketika memulakan larian, selain turut berbekalkan air zam-zam dalam setiap pertandingan disertai.

“Dalam keadaan usia yang semakin meningkat, saya bersyukur kerana mampu mengekalkan tenaga dan rentak larian setiap pertandingan sejauh 20 kilometer.

“Malah, pengalaman menyertai acara larian maraton sejak puluhan tahun lalu banyak membantu saya mengekalkan stamina, selain sentiasa berselawat ketika berada di garisan permulaan serta mengamalkan minum air zam-zam,” katanya ditemui di kediamannya di Taman Bukit Indah di Bukit Siput, semalam.

Minatnya pada pertandingan larian jarak jauh bermula ketika usianya mencecah 50 tahun dengan menyertai pelbagai pertandingan di sekitar Johor.

“Biarpun tidak pernah memenangi kejohanan disertai, membanggakan saya apabila kekal dalam kelompok 15 peserta awal yang berjaya ke garisan penamat sekali gus layak menerima pingat dan sijil 15 pelari terbaik,” katanya.

Paling membanggakan apabila dia berjaya mengalahkan pelari muda bukan seorang dua, tetapi beratus orang di belakang.

“Kalau dilihat daripada keupayaan golongan muda dan remaja ini untuk berlari, saya mungkin ketinggalan jauh, namun sebaliknya pula.

“Namun itu bukanlah niat di sebalik saya menyertai setiap acara itu, tetapi menganggap ia sebagai aktiviti riadah dalam mengisi masa terluang,” katanya.

Katanya, teknik larian yang betul dapat memastikan individu menyertai acara larian maraton mampu meneruskan larian hingga ke garis penamat.

“Seseorang pelari itu perlu memiliki teknik larian secara sistematik sekali gus mampu bersaing dengan kelompok pelari muda, namun itu bukan matlamat utama saya,” katanya.

Menurutnya, setiap pagi dia melakukan latihan larian sejauh kira-kira 20km di pusat rekreasi sekitar Sungai Segamat dengan purata larian sebulan menjangkau ra 550km.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 4:51 AM