FOTO fail menunjukkan blok bangunan yang menempatkan pelarian Rohingya di Pulau  Bhasan Cha. FOTO Reuters
FOTO fail menunjukkan blok bangunan yang menempatkan pelarian Rohingya di Pulau Bhasan Cha. FOTO Reuters
Reuters

Dhaka: Lapan pelarian Rohingya cedera dalam kebakaran yang berlaku akibat kebocoran gas di sebuah kem di pulau terpencil Bhasan Char, semalam.

Ketua Polis Bhasan Char, Kawsar Alam Bhuiyan berkata, lapan pelarian itu yang mengalami separa melecur, dibawa ke hospital kerajaan di daerah Noakhali.

Beliau berkata, lima kanak-kanak adalah antara yang cedera dalam kebakaran itu, yang berpunca di sebuah rumah.

Bangladesh menempatkan semula kira-kira 32,000 orang dari kem sempadan di daerah tenggara Cox's Bazar ke Pulau Bhasan Char, sejak akhir 2020.

Tindakan itu sudah mendapat tentangan, terutama kumpulan bantuan yang bimbang mengenai bencana di negara yang kerap menghadapi cuaca buruk, terutama di sepanjang kawasan pantai.

Kerajaan juga menolak kebimbangan keselamatan ke atas pulau itu, memetik pembinaan pertahanan banjir serta hospital, pusat siklon dan perumahan untuk 100,000 orang.

Hampir sejuta anggota minoriti Islam dari Myanmar tinggal di kem yang sesak, buluh dan plastik di Cox's Bazar, kebanyakan mereka adalah pelarian yang melarikan diri daripada tindakan keras tentera pada 2017.

Kebakaran sering berlaku di kem yang sesak, dengan struktur sementaranya.

Kebakaran besar-besaran pada Mac membunuh sekurang-kurangnya 15 pelarian dan memusnahkan lebih 10,000 rumah.

Pada 2023 pula, kira-kira 12,000 kehilangan tempat tinggal selepas hampir 2,800 tempat perlindungan dan lebih 90 kemudahan, termasuk hospital dan pusat pembelajaran, musnah dalam kebakaran.

Panel yang menyiasat kebakaran itu menyebutnya sebagai tindakan sabotaj yang dirancang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 9:22 AM