myMetro

Kota Bharu: “Ketika berada di bilik air, isteri saya beritahu nampak asap di bumbung tingkat atas sebelum kami bergegas menyelamatkan diri bersama dua anak berusia empat tahun dan empat bulan,” kata peniaga Ramli Kong, 34, salah seorang mangsa kebakaran enam unit rumah kedai membabitkan kerugian keseluruhan dianggarkan RM1 juta di Jalan Sultan Yahya Petra, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi, enam unit rumah kedai separuh kekal membabitkan kedai menjual perkakas rumah, barang elektrik, kusyen dan membaiki barangan elektrik hangus.

Kebakaran itu dipercayai berpunca daripada sebuah premis sebelum api merebak ke lima premis yang lain.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.

Ramli berkata, ketika kejadian, dia berada di bilik air manakala isteri, Shafinaz Wong, 33, berada di tingkat atas sambil menidurkan anak berusia empat bulan.

“Isteri yang melihat asap di bahagian bumbung bergegas turun ke bawah dan memaklumkan kepada saya supaya menyelamatkan diri bersama seorang lagi anak.

“Dalam keadaan panik, saya sempat menyelamatkan dokumen penting dan pacuan empat roda jenis Honda CRV sebelum api merebak ke rumah kedai,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu Zaini Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.04 pagi sebelum 49 anggota bersama sembilan jentera dari BBP Kota Bharu, Darulnaim, Pengkalan Chepa, Pasir Tumboh dan Rantau Panjang bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, 80 peratus premis berkenaan sudah hangus terbakar dan kita mengambil masa selama satu jam setengah untuk mengawal api daripada merebak.

“Setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 9:28 AM
Anggota bomba memadam kebakaran enam buah rumah kedai di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu.
Anggota bomba memadam kebakaran enam buah rumah kedai di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu.