ANTARA barangan termasuk sebilah parang yang berjaya dirampas dalam tangkapan suspek. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
ANTARA barangan termasuk sebilah parang yang berjaya dirampas dalam tangkapan suspek. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
DUA suspek yang ditahan berjaya dirakam menggunakan sistem rakaman litar tertutup (CCTV) di kedai serbaneka 24 jam berkenaan. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
DUA suspek yang ditahan berjaya dirakam menggunakan sistem rakaman litar tertutup (CCTV) di kedai serbaneka 24 jam berkenaan. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Mohd Ruzaini Zulkepli


POLIS menahan dua lelaki yang terbabit dalam kes samun bersenjatakan parang dan pisau di Manggatal, Kota Kinabalu, 6 September lalu.

Kedua-dua suspek berusia 25 dan 27 tahun itu dicekup dalam dua serbuan berasingan di pekan Inanam Baru dan Kampung Labou, Tebobon, dekat sini, oleh sepasukan polis anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, berdasarkan siasatan awal, dua lelaki itu disyaki terbabit kes samun bersenjata di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Manggatal dan melarikan wang tunai RM200 serta 55 bungkus rokok.

"Dalam kejadian jam 3.48 pagi pada 28 Ogos lalu, dua suspek terbabit dipercayai memasuki kedai serbaneka itu lalu membeli keropok dan keluar semula untuk duduk menghabiskan makanan mereka di luar premis.

"Sebaik selesai, kedua-dua suspek itu masuk semula ke kedai lalu mengeluarkan parang dan pisau serta mengacukannya ke arah pekerja bertugas sebelum melarikan 55 bungkus rokok dan wang tunai RM200," katanya, dalam kenyataan medianya, hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, dua lelaki itu akhirnya berjaya ditahan dalam dua serbuan berasingan di pekan Inanam Baru dan di Kampung Labou, pada 6 September lalu.

"Hasil daripada tangkapan itu, kita menemui sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun berkenaan.

"Selain daripada senjata tajam terbabit, polis turut merampas dua telefon bimbit, rokok serta sebuah motosikal," katanya.

Tambah Chandra, semua suspek yang ditahan turut didapati positif dadah jenis syabu dan kini direman sehingga esok untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 5:54 PM