DUA pegawai polis menunjukkan dua bungkusan berisi dadah yang dirampas di Inanam dan Manggatal  pada sidang media di IPD Kota Kinabalu.
DUA pegawai polis menunjukkan dua bungkusan berisi dadah yang dirampas di Inanam dan Manggatal pada sidang media di IPD Kota Kinabalu.
Fardy Bungga

Kota Kinabalu: Empat individu termasuk seorang wanita dipercayai aktif dalam pengedaran dadah di sini, ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan di Inanam dan Manggatal, Ahad lalu.

Pada serbuan bermula jam 3.30 petang itu, suspek yang ditahan termasuk dua warga Filipina berusia antara 25 hingga 44 tahun.

Polis turut merampas ketulan hablur disyaki syabu seberat 62.78 gram (g) bernilai RM5,000.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, serbuan dilakukan berdasarkan maklumat awam dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Kinabalu.

Katanya, dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki warga Filipina dan merampas satu peket plastik lut sinar berisi syabu yang disembunyikan di dalam kotak rokok seberat 5.44g.

“Polis menjalankan operasi di kawasan Manggatal dan menahan seorang lelaki serta wanita tempatan, masing-masing berusia 44 dan 36 tahun.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui syabu seberat 5.54g dalam pemilikan suspek.

“Susulan penahanan itu, polis menahan seorang lelaki warga Filipina dan merampas satu peket plastik lut sinar berisi syabu seberat 51.8g,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Chandra berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap semua suspek mendapati mereka positif jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A(1) akta sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 4:14 AM