MOHAMED Khaled (tiga kanan) ketika majlis Pra Pelancaran Ekspo Johor Berkemajuan 2017. FOTO Mohd Azren Jamaludin
MOHAMED Khaled (tiga kanan) ketika majlis Pra Pelancaran Ekspo Johor Berkemajuan 2017. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Sabran Md Sani


PENGANJURAN Ekspo Johor Berkemajuan pada Oktober ini akan menterjemahkan perjalanan pembanungan Johor selama 60 tahun, selain menjadi platform hala tuju masa depan negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ekspo sembilan hari bermula 6 hingga 14 Oktober bagi berkongsi serta mempersembahkan kemajuan dikecapi Johor kepada seluruh rakyat Johor dan Malaysia.

"Eskpo ini akan menjelaskan ke mana Johor ini akan dibawa. Apakah bentuk masa depannya dan apakah cabarannya.

"Biar semua orang tahu, terutamanya generasi muda Johor dan Malaysia bahawa kita sentiasa memandang ke hadapan," katanya dalam ucapannya, hari ini.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2017 Peringkat Negeri Johor di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang Johor.

Terdahulu Mohamed Khaled melaksanakan pra pelancaran Ekspo Johor Berkemajuan.

Mohamed Khaled berkata, ekspo anjuran kerajaan negeri itu akan menggelorakan rasa ghairah dan keterujaan seluruh rakyat Johor untuk memberi dan menyumbang kepada Johor dan Malaysia dengan lebih banyak lagi.

"Kita sentiasa merancang pelan terbaik untuk Johor dan Malaysia.

"Kita tidak pernah berasa puas dan cukup untuk memberi kepada Johor dan Malaysia yang kita cintai ini," katanya.

Katanya, Johor akan terus menjadi bangsa yang dahagakan pencapaian dan terus gigih memburu kejayaan.

"Kita bangunkan sistem prasarana rel termaju kerana kita mahu semua daerah Malaysia terhubung dengan pantas.

"Melaluinya kita boleh memajukan setiap pelosok tanah air dengan lebih sistematik dan pantas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2017 @ 5:24 PM