PENGUNJUNG mengisi borang pendaftaran pencari kerja pada Program Temuduga Terbuka yang dianjurkan SL1M di MITC, Ayer Keroh, semalam.
PENGUNJUNG mengisi borang pendaftaran pencari kerja pada Program Temuduga Terbuka yang dianjurkan SL1M di MITC, Ayer Keroh, semalam.
Zairee Mohd Yasak


Melaka: Hampir 10,000 graduan dan pencari kerja membanjiri Program Temuduga Terbuka anjuran Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Selatan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, semalam.

Program berlangsung selama dua hari itu menawarkan lebih 15,000 peluang pekerjaan dan latihan membabitkan kira-kira 100 majikan.

Ketua Sekritariat SL1M Norashikin Ismail berkata, program berkenaan diadakan bagi membantu graduan dan pencari kerja untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka dalam pelbagai sektor pekerjaan.

“Kesempatan ini perlu diambil sepenuhnya oleh mereka yang mencari pekerjaan bersesuaian demi mengubah kehidupan diri serta keluarga terutama graduan ijazah sarjana muda dan ke atas yang belum mendapat pekerjaan selain datang dari keluarga berpendapatan rendah.

“Setiap calon akan diberi sesi temu duga segera untuk dibuat penilaian bersesuaian dengan peluang pekerjaan yang ada,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan program yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron di MITC Ayer Keroh, di sini.

Seramai 126,000 peserta mengikuti program SLIM sejak dilancarkan pada Jun 2011 dengan diseliakan Unit Perancang Ekonomi (UPE) Jabatan Perdana Menteri.

Peserta terpilih mendapat pendedahan dan pengalaman kerja di syarikat yang menyertai program itu, sama ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat swasta.

Katanya, pelbagai kemudahan termasuk perkhidmatan fotokopi, klinik resume dan sesi motivasi disediakan kepada lebih 20,000 pemohon yang dijangkakan mengunjungi program itu yang berakhir, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 8:09 AM