Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nurul Fhatihah Zakinan


KERAJAAN Melaka dijangka memulakan pembinaan 60 unit ‘Rumah Peduli’ pertama di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu seawal Jun ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta setahun bagi pelaksanaannya membabitkan dua fasa iaitu pembinaan dan pembaikan projek Rumah Peduli berharga RM30,000 seunit.

“Kita sedang memuktamadkan proses reka bentuk rumah yang akan diseliakan oleh EXCO Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli negeri, Ginie Lim Siew Lin dan JKR (Jabatan Kerja Raya).

“Rumah ini adalah percuma khusus kepada mereka yang mempunyai tanah dan ditafsir sebagai miskin tegar namun sukar mendapatkan rumah. Pemilihan permohonan ini akan diselia oleh Lembaga Perumahan Melaka (LPM),” katanya pada sidang media Mesyuarat EXCO di Kota Fesyen, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh hari ini.

Sementara itu, Adly berkata, LPM menerima 40 permohonan bagi program Rumah Berkat yang mensasarkan belia baharu berkahwin berusia 35 tahun ke bawah.

“Pembinaan 30 unit Rumah Berkat ini bermula April ini di Pokok Mangga.

“Kadar sewaan seunit serendah RM150 dan tempoh penyewaan pula maksimum tiga tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Adly turut mengklasifikasikan penjenamaan rumah di negeri itu bagi memudahkan rakyat memilih rumah yang dibangunkan kerajaan negeri mengikut kesesuaian dan kemampuan masing-masing.

“Rumah kos rendah dianggarkan berharga RM42,000; Rumah Harapan (RM80,000-RM100,000); Rumah Belia (RM162,000); Rumah Mampu Milik (RMM) (RM100,000-RM180,000) dan rumah kos sederhana melebihi RM180,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 8:39 PM