Hassan Omar


Ayer Keroh: Program vaksinasi khas akan disediakan untuk penggiat industri pelancongan di Melaka sebagai persediaan menggerakkan semula industri berkenaan, tidak lama lagi.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, langkah itu penting bagi memastikan mereka mampu memajukan industri itu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan kelak.

"Pihak yang terbabit dalam industri itu sudah mengemukakan nama mereka dan kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi merealisasikannya.

"Ekonomi Melaka bergantung kepada industri pelancongan dan kita berharap pekerja sektor industri pelancongan diberikan vaksin segera kerana kita mesti menyediakan mereka untuk menghadapi keadaan apabila sektor pelancongan dibenarkan semula," katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau operasi pemberian vaksin dianjurkan Pertubuhan Pengamal Perubatan Islam Ibnu Sina Cawangan Melaka di Masjid Al-Alami, di sini hari ini.

Turut hadir, Penasihat pertubuhan itu, Datin Dr Rina Salwani.

DATUK Seri Utama Sulaiman Md Ali (dua dari kanan) sedang beramah mesra dengan penerima vaksin ketika lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin Masjid Al Alami MiTC, Ayer Keroh, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
DATUK Seri Utama Sulaiman Md Ali (dua dari kanan) sedang beramah mesra dengan penerima vaksin ketika lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin Masjid Al Alami MiTC, Ayer Keroh, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad

Seramai 420 penerima vaksin yang mendaftar melalui pelbagai masjid di sekitar Ayer Keroh menerima suntikan pada program berkenaan.

Ia diadakan setiap Sabtu secara bergilir di Masjid Al-Alami dan tiga masjid lain di Asahan, Krubong dan Jasin mulai 31 Julai lalu hingga 6 Oktober depan.

Bagaimanapun, Sulaiman tidak menyatakan jumlah penggiat industri pelancongan yang dijangka terbabit dalam program berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri sudah meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) menilai semula permohonan supaya rakyat negeri ini yang sudah melengkapkan penerimaan dua dos vaksin dibenarkan merentas daerah.

"Kita minta MKN melihat semula nilai ambang, iaitu mereka yang sudah mendapat dos kedua dibenarkan merentas daerah kerana ini akan membantu memajukan semula industri pelancongan yang semakin tenat," katanya.

Selain itu, katanya, nilai ambang katil unit rawatan rapi (ICU) yang digunakan pesakit Covid-19 mesti kurang daripada 70 peratus juga harus dilihat semula oleh MKN kerana di negeri ini hanya Hospital Melaka yang mempunyai ICU untuk pesakit terbabit.

Katanya, berbanding negeri lain yang mempunyai beberapa hospital yang menyediakan ICU untuk pesakit Covid-19, kadar penggunaan katil ICU di Hospital Melaka sekarang sudah hampir mencecah 100 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 3:20 PM