TERTUDUH ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Syahirah Abdullah
TERTUDUH ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Syahirah Abdullah
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Bekas ahli jawatankuasa Koperasi Kakitangan Kerajaan dan Badan-Badan Berkanun Terengganu (KOKANUN) dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan menipu peniaga di Paka pada 2009.

Tertuduh, Salleh Samat, 60, turut berdepan hukuman penjara tiga bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Asmadi Hussin selepas tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan curangnya menipu Hayati Muhamad sehingga mendorongnya menyerahkan RM2,900 yang didakwa sebagai sebahagian wang deposit sewaan premis L-28,4 (GR) 9250 Jalan Besar Kampung Cacar Paka, Dungun milik KOKANUN di Jalan Besar Kampung Cacar, Paka, Dungun pada 30 November 2009.

Selain itu, tertuduh turut mengulangi kesalahan sama apabila dengan curangnya menipu mangsa sehingga menyerahkan RM1,000 di hadapan kafe di Paka, Dungun pada 12 November 2009.

Bagi kesalahan pertama, tertuduh dikenakan penjara tiga tahun dan denda RM5,000 manakala penjara tiga tahun dan denda RM3,000 bagi pertuduhan kedua selain turut berdepan masing-masing dua bulan dan satu bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Ghazali & Co.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 12:34 PM