GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Kuala Pilah: Padah menggunakan wang palsu RM100, dua wanita dan seorang lelaki dikenakan hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Md Ross Louis Hisham, 46, Nurul Ain Atiqah Karoi, 24, dan Nurul Najwa Zulkifli, 21, yang mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan.

Mengikut pertuduhan ketiga-tiga tertuduh didakwa menggunakan wang palsu RM100 sebagai tulen di beberapa kedai di Bahau dan Gemas antara 7 Januari hingga 11 Januari lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah seksyen sama penjara selama tempoh sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan, manakala bagi pertuduhan ketiga dan keempat mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 13.

Sementara itu bagi pertuduhan kelima, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan semua hukuman itu berjalan serentak.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 2:04 PM