LUBANG yang dipercayai ditebuk suspek. FOTO Ihsan Info RM Ganu & Kemalangan Seluruh Malaysia
LUBANG yang dipercayai ditebuk suspek. FOTO Ihsan Info RM Ganu & Kemalangan Seluruh Malaysia
Rosli Ilham


KOMPLEKS Centre Point Kemaman di Chukai yang dicerobohi tiga lelaki bertopeng dipercayai untuk merompak kedai emas dibuka semula kepada orang ramai, 1.30 tengah hari ini.

Peniaga di kompleks berkenaan, Nasir Awi, 30, berkata, dia baru dimaklumkan pihak berkuasa bahawa kompleks terbabit sudah dibenarkan beroperasi selepas polis selesai menjalankan siasatan.

Menurutnya, dia sendiri belum pasti sama ada premisnya turut terbabit dalam pencerobohan terbabit.

"Saya baru sahaja dimaklumkan boleh beroperasi dan selepas ini saya akan masuk ke premis untuk melihat keadaannya," katanya.

Dalam kejadian itu, polis bertindak mengepung dan menjalankan pemeriksaan di kompleks berkenaan apabila tiga lelaki bertopeng didakwa bersembunyi di dalam premis itu selepas cuba melakukan samun bersenjata di kedai emas, pagi hari ini.

Suspek bertopeng dan bersenjata parang itu dikatakan menebuk lubang dinding di bangunan sebelah kompleks terbabit sebelum masuk ke kedai emas kira-kira 1 pagi.

Mereka kemudiannya bertindak mengikat dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang ditugaskan menjaga kompleks berkenaan.

Bagaimanapun, seorang daripada anggota RELA terbabit berjaya melepaskan ikatan dan kemudiannya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman kira-kira 5 pagi.

Polis juga menggunakan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) yang dibawa dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang untuk mengesan kedudukan tiga lelaki berkenaan.

Berita berkaitan:

Penyamun sembunyi dalam kompleks

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 2:51 PM