FAIZAL Miza (dua kanan) bersama Sherman (tiga kanan) hadir pada Pendakwaan SPRM berhubung Ops Kotaraya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
FAIZAL Miza (dua kanan) bersama Sherman (tiga kanan) hadir pada Pendakwaan SPRM berhubung Ops Kotaraya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Nur Lela Zulkipli


LIMA kakitangan awam termasuk Ketua Balai Polis Setapak didakwa di tiga Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung operasi rumah urut ‘Ops Kotaraya’ tahun lalu.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh iaitu Ketua Balai Polis Setapak, Asisten Superintendan Sherman Salleh, 42; Lans Koperal Faizal Miza Zakariah, 35; anggota bomba, Mohd Fadzli Jamaludin, 48, dan dua penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairil Faezi Mohd Aziz, 32, serta Qairul Redza Mohd Hadzri, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Azura Alwi, Rozina Ayub dan Azman Ahmad.

Di hadapan Hakim Azura, tertuduh Sherman dan Faizal masing-masing didakwa sebagai Penolong Penguasa Polis dan Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Setapak secara rasuah meminta suapan RM3,000 daripada Gilbert Juin Anak Damu, 37.

Suapan itu sebagai dorongan untuk kedua-dua tertuduh tidak mengambil tindakan terhadap rumah urut di Platinum Walk.

Selain itu, kedua-dua tertuduh juga turut didakwa masing-masing memperoleh suapan RM3,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk perbuatan yang sama.

Selain itu, anggota bomba, Mohd Fadzli didakwa secara rasuah setuju terima satu suapan RM500 daripada individu sama sebagai dorongan menyokong Permohonan Kelulusan Lesen Perniagaan Premis melalui sistem E-Lesen DBKL.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Platinum Walk, Setapak antara 5 November 2018 hingga 11 Januari lalu.

Sementara itu, di hadapan Hakim Rozina pula, dua penguatkuasa DBKL, Khairi Faezi dan Qairul Redza didakwa bersama-sama meminta suapan wang sebanyak RM1,500 daripada individu sama sebagai dorongan untuk tidak melakukan tindakan terhadap rumah urut di 1 Platinum Walk, Jalan Langkawi, Setapak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, pada 10 malam, 3 Mei 2018.

Manakala di hadapan Hakim Azman, Qairul Redza turut didakwa atas tiga lagi pertuduhan meminta suapan bernilai RM58,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk mendapatkan lesen rumah urut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Raja laut dan rumah urut di Platinum Walk antara 4 April hingga 27 April tahun lalu.

Bagi kesemua kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Dalam kesemua prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abd Rashid Sulaiman; Nordiana Najwa Nor Azwa dan Mohamad Fadhly Mohd Zamry.

Sementara tertuduh, Sherman diwakili peguam Ahmad Ishrakh Saad, Faizal diwakili Datuk Geethan Ram Vincent, Qairul Redza diwakili dua peguam iaitu Luqman Hakim Azhar dan Noor Mousa Azaddin manakala dua lagi tertuduh Khairil Faezi serta Mohd Fadzli tidak diwakili peguam.

Kesemua tertuduh diikat jamin antara RM10,000 hingga RM15,000.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 dan 23 April untuk sebutan semula kes berserta syarat tambahan iaitu kesemua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM terdekat sekali sebulan sehingga kes selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 1:52 PM