Kaum keluarga membacakan surah Yaasin di sisi jenazah. Gambar kecil, Ahmad Noorzaki. FOTO Zaman Huri
Kaum keluarga membacakan surah Yaasin di sisi jenazah. Gambar kecil, Ahmad Noorzaki. FOTO Zaman Huri
Muhamaad Razis Ismail


WARTAWAN sambilan RTM Kelantan Ahmad Noorzaki Mohd Noor, 48, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di rumahnya di Kampung Chepa di Kota Bharu jam 4.20 pagi tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya.

Isteri arwah, yang juga jurukamera sambilan RTM Kamisah Azid, 46, berkata, kira-kira jam 10 malam tadi, Allahyarham sempat mengadu sakit dada dan sukar bernafas sebelum tidur.

Katanya, bagaimanapun suaminya bangun semula kira-kira jam 2 pagi sebelum ke tandas.

"Bagaimanapun, ibu mentua perasan arwah rebah di dalam tandas berkenaan dalam keadaan sesak nafas.

"Kami sempat mengajar arwah mengucap sebelum menghembuskan nafas terakhir, jam 4.20 pagi," katanya ketika ditemui di rumahnya tadi.

Menurutnya, tiga minggu lalu Allahyarham dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia ( HUSM) Kubang Kerian berikutan masalah darah rendah.

"Arwah ditempatkan di hospital selama seminggu sebelum dibenarkan pulang pada 6 Ogos lalu.

"Semalam pun arwah bekerja menghadiri sidang media dengan Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah.

"Pemergiannya amat dirasai namun reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Turut menziarahi jenazah Allahyarham ialah Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan dan Pengarah Maritim Kelantan Kapten Nurul Hizam Zakaria.

Allahyarham meninggalkan balu dan lima anak berusia antara 10 hingga 25 tahun.

Jenazah akan di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chepa pada jam 11 pagi.

Arwah sebelum ini pernah bertugas sebagai wartawan sambilan Harian Metro, Bernama dan RTM selama hampir 30 tahun selain kakitangan Berita Harian di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 12:06 PM