Mohamad Zulhairie Manzaidi

Kota Bharu: Ulama tersohor Kelantan, Mamat Awang Noh atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Haji Mad Lundang Paku, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Lundang Paku, Dewan Beta di sini, akibat sakit tua awal pagi semalam,

Allahyarham berusia 110 tahun, menghembuskan nafas yang terakhir pada 4.40 pagi tadi, di sisi ahli keluarga.

Jenazah dikebumikan Pondok Lundang Paku di sini bersebelahan dengan kubur arwah gurunya Said Hassan @ Tok Ayah Said jam 10.30 pagi.

Isteri Allahyarham Ramlah Majid, 74, berkata, suaminya terlantar sejak tujuh tahun lalu akibat terseliuh tulang pinggul akibat terjatuh.

"Bagaimanapun, kesihatan arwah semakin merosot sejak bulan lalu dan tidak mampu bercakap seperti biasa.

""Arwah meninggal dunia pada usia 110 tahun dan saya berasa sedih dengan kehilangannya kerana arwah seorang guru pondok yang sangat dihormati.

"Pemergiannya amat kami rasai namun reda dengan ketentuan ilahi," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, tadi.

Allahyarham sewaktu usia mudanya, sering berulang alik ke Makkah sebanyak 12 kali selain cukup terkenal kerana berpengetahuan luas dalam ilmu tasawuf dan sering menjadi rujukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 11:27 PM