WAN Suhaini (kiri) menunjukkan E-Kad yang dirampas.
WAN Suhaini (kiri) menunjukkan E-Kad yang dirampas.

Kuala Terengganu: Satu sindiket dipercayai cuba mengaut keuntungan mudah dengan mendalangi serta menawarkan Enforcement Card (E-Kad) palsu kepada majikan untuk kegunaan pekerja warga asing dengan tawaran harga mencecah ribuan ringgit.

Penghasilan E-Kad palsu itu dipercayai dihasilkan sindiket sama yang sebelum ini dikatakan terbabit dalam kegiatan memalsukan dokumen berkaitan dengan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Difahamkan, majikan yang tidak mendaftar untuk E-Kad berkenaan akan berurusan dengan sindiket terbabit dan sanggup membayar ribuan ringgit bagi mendapatkan kad berkenaan kepada pekerja mereka.

Pemalsuan E-Kad berkenaan dikesan Jabatan Imigresen ketika melakukan pemeriksaan di tapak pembinaan di bandar raya ini kelmarin.

Dalam pemeriksaan itu, Jabatan Imigresen merampas dua keping E-Kad palsu daripada dua lelaki warga Indonesia berusia 35 tahun dan 40 tahun.

Pengarah Jabatan Imigresen Terengganu Wan Suhaini Wan Mohamad berkata, kad itu dirampas jam 12.30 tengah hari ketika operasi membabitkan 11 pegawai dan anggota.

Menurutnya, dua lelaki terbabit dipercayai dari majikan sama cuba mengaburi mata pihak imigresen apabila dengan selamba menghulurkan kad berkenaan ketika pemeriksaan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 5:12 AM