Kalidevi Mogan Kumarappa


Dua bangunan tiga tingkat yang menempatkan pusat snuker, pusat judi dalam talian dan rumah urut yang menawarkan aktiviti pelacuran yang tular di laman sosial digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya sebelum 55 warga asing, termasuk 34 wanita dan dua lelaki tempatan, ditahan.

Hasil serbuan serentak 40 anggota JIM Putrajaya dan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI), pekerja asing itu gagal melarikan diri walaupun ada yang bersembunyi dalam bilik rehat.

Dua premis yang masing-masing terletak di Taman Maluri, Cheras dan Danau Kota, Setapak, membabitkan rangkaian syarikat sama malah syarikat terbabit memiliki lebih 40 cawangan di sekitar Lembah Klang.

Tindakan ke atas semua warga asing itu diambil mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 atas kesalahan menyalahgunakan permit lawatan sosial dan visa pelajar selain tinggal melebihi tempoh masa.

Dua lelaki tempatan itu pula disiasat mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, tular di laman sosial mengenai gesaan penduduk setempat kepada JIM untuk mengambil tindakan ke atas rangkaian pusat snuker berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 4:44 PM
SEBAHAGIAN wanita warga asing ditahan. FOTO Kalidevi Mogan Kumarappa
SEBAHAGIAN wanita warga asing ditahan. FOTO Kalidevi Mogan Kumarappa