Antara warga asing yang diperiksa di tapak projek pembinaan di Kampung Raja. FOTO Zaid Salim
Antara warga asing yang diperiksa di tapak projek pembinaan di Kampung Raja. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


DUA lelaki Myanmar ditahan selepas kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) milik mereka 'tidak laku' kerana dipercayai palsu dalam operasi di tapak projek pembinaan di Kampung Raja, Besut, semalam.

Sebelum kejadian, dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu sedang bekerja di tapak projek berkenaan sebelum diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu yang melakukan pemeriksaan Op Mega pada 11 pagi.

Dua lelaki terbabit yang yakin mereka tidak melakukan kesalahan, tidak melarikan diri sebaliknya dengan selamba menyerahkan kad berkenaan sejurus diminta pegawai JIM Terengganu untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, dua lelaki terbabit yang mendakwa baru bekerja di tapak berkenaan terkejut apabila kad mereka dipercayai palsu.

Ketika soal siasat, mereka yang tidak fasih berbahasa Melayu memaklumkan memperoleh kad berkenaan daripada orang tengah yang mendakwa wakil ejen dengan mengenakan bayaran bagi setiap kad.

Sementara itu, Pengarah JIM Terengganu Wan Suhaini Wan Mohamad berkata, dua lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/53 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk berada di negeri ini.

Katanya, Op Mega yang diketuai Ketua Timbalan Penolong Pengarah JIM Terengganu Mohd Muda dilakukan berdasarkan maklumat awam dan penduduk setempat yang kurang selesa dengan kebanjiran pekerja asing di tapak projek berkenaan.

"Seramai 149 pekerja asing pelbagai negara diperiksa dengan 80 orang daripadanya yang berusia antara 18 hingga 53 tahun ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

"Warga Bangladesh paling ramai ditahan iaitu seramai 65 orang diikuti Pakistan (tujuh), China (lima) dan Myanmar seramai tiga orang.

"Tidak memiliki dokumen menjadi kesalahan paling tinggi membabitkan seramai 56 orang, salah guna pas lawatan sosial (22) dan tinggal lebih masa seramai dua orang.

"Semua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1969/53 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 6:41 PM