Nursabrina (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di hadapan rumah mereka di Kampung Kuala Dingin, Selama Kedah, Bandar Baharu, hari ini. FOTO ihsan ADUN.
Nursabrina (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di hadapan rumah mereka di Kampung Kuala Dingin, Selama Kedah, Bandar Baharu, hari ini. FOTO ihsan ADUN.
Azahar Hashim


TINDAKAN pantas kanak-kanak lelaki mengejutkan ahli keluarganya daripada tidur selepas menyedari rumah terbakar berjaya menyelamatkan mereka apabila sempat keluar sebelum kediaman itu musnah, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 2.15 pagi itu, Mohamad Darwis Abdullah, 12, dianggap hero bagi keluarganya apabila bertindak berani merempuh pintu masuk utama rumah dua tingkat yang sedang terbakar di Kampung Kuala Dingin, Selama Kedah, Bandar Baharu, untuk menyelamatkan keluarganya.

Kebakaran itu menyebabkan rumah itu musnah 70 peratus dan dua motosikal berada berhampiran pintu rumah turut musnah.

Mangsa, Roslinda Ramli, 37, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur bersama suaminya Kamarudin Che Lah, 51, di tingkat bawah rumah.

“Kami tinggal seramai lapan orang dalam rumah ini termasuk anak, menantu dan seorang cucu berusia dua tahun.

“Sebelum kejadian, saya terjaga daripada tidur kerana anak berusia tiga tahun ingin menyusu, lalu saya bangun memberinya susu sebelum tertidur beberapa minit,” katanya ketika dihubungi selepas menerima kunjungan dan bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor, semalam.

Hadir sama, pegawai dari Pejabat Zakat Daerah Kulim/Bandar Baharu, pegawai Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Bandar Baharu serta penghulu Mukim Selama Kedah.

Roslinda berkata, dia baru terlelap sebelum dikejutkan Mohamad Darwis menjerit meminta mereka semua menyelamatkan diri apabila rumah terbakar.

“Sebelum itu, Mohamad Darwis tidur di ruang tamu dan menyedari rumah terbakar selepas kain selimut serta kain alas tempat tidurnya terbakar di bahagian kakinya.

“Namun, ketika itu api masih kecil dan tidak mengenai kaki anak saya, sebaliknya hanya asap tebal sehingga dia terjaga daripada tidur,” katanya.

Roslinda berkata, rumah mereka hanya ada pintu masuk utama sahaja serta tiada pintu dapur menyebabkan anaknya itu merempuh pintu utama bagi memudahkan mereka menyelamatkan diri.

“Kami hanya sempat menyelamatkan dokumen dan barangan yang penting sahaja manakala semua pakaian serta kelengkapan persekolahan anak saya musnah.

“Api dipercayai berpunca daripada bahagian hadapan rumah kerana dua motosikal yang berada berhampiran pintu masuk turut musnah," katanya.

Sementara itu, Norsabrina berkata, pihaknya bersimpati dengan musibah menimpa keluarga terbabit dan berharap mereka bersabar menghadapi dugaan.

Beliau berkata, pihaknya sudah menyampaikan sumbangan segera melalui Pejabat Zakat, JKM serta Penghulu dan buat sementara waktu, keluarga terbabit menumpang di dewan berhampiran.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Faiz Helmi berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.27 pagi berhubung kebakaran itu.

Beliau berkata, operasi disertai sembilan anggota bersama sebuah jentera pemadam api dan sebuah ambulans Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Ketua Operasi mengarahkan anggota membuat pengawalan dan pemadaman sebelum api berjaya dikawal empat minit kemudian.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan rumah itu musnah 70 peratus manakala dua motosikal turut rosak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 12:14 AM