Anggota bomba bertungkus lumus memadam kebakaran di Kampung Sepakat Jaya, Sepanggar, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Anggota bomba bertungkus lumus memadam kebakaran di Kampung Sepakat Jaya, Sepanggar, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Bunyi letupan kuat menyebabkan seorang lelaki terjaga daripada tidur sebelum menyelamatkan isteri dan dua anaknya dalam kebakaran membabitkan enam rumah di Kampung Sepakat Jaya, Sepanggar, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, seorang anggota bomba turut dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas, manakala seorang penduduk cedera dan diberi rawatan awal oleh pasukan penyelamat.

Menceritakan semula kejadian, Herianto Lapance, 34, berkata dia sedang tidur dalam bilik, manakala isterinya dan dua anaknya berusia empat dan enam tahun berada di ruang tamu rumah.

"Saya terjaga sebaik terdengar letupan kuat lalu keluar dari bilik dan melihat bumbung rumah berasap sebelum terus mendakap anak-anak bersama isteri lalu keluar dari rumah.

"Api marak dengan begitu cepat tanpa sempat menyelamatkan harta-benda, hanya pakaian yang saya pakai sahaja yang tinggal. Saya kini terpaksa menumpang di rumah saudara mara buat sementara waktu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.06 pagi sebelum 20 pegawai dan anggota dari BBP Lintas serta BBP Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, kebakaran membabitkan enam rumah yang musnah dan seorang anggota bomba dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas ketika operasi pemadaman dijalankan.

Katanya, setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 1:28 PM