BOMBA memadamkan kebakaran. FOTO Mohd Yusni Ariffin
BOMBA memadamkan kebakaran. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Gareth Dawum


“KETIKA kejadian, saya sedang tidur dan terdengar jeritan orang ramai meminta saya keluar dari rumah,” kata Mohamad Zamil Jumali, 30.

Dia adalah antara 30 mangsa yang terselamat selepas kira-kira 10 kuarters milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hangus dalam kebakaran di Jalan Lengkok Abdullah, Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, dia yang bekerja pada syif malam hari ini sedang lena tidur di ruang tamu.

“Bagaimanapun saya terjaga selepas mendengar jeritan dari bahagian luar rumah dan melihat kepulan asap mula memenuhi ruang tamu.

“Saya keluar daripada rumah dan melihat api sedang marak sebelum menyelamatkan motosikal milik saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Mohamad Zamil berkata, api merebak terlalu pantas menyebabkan dia gagal menyelamatkan barangan lain.

“Baju pun saya tidak sempat pakai, saya keluar rumah hanya dengan berseluar pendek.

“Saya sudah tinggal di kawasan rumah panjang ini sejak lapan tahun lalu dan masih terkejut dengan kejadian hari ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Muhamad Hafiz Abdullah, 27, berkata, ketika kejadian, dia sedang bekerja namun dihubungi rakannya mengatakan rumah didiami, terbakar.

“Saya kemudian bergegas pulang dan mendapati barang di dalam rumah habis terbakar dan musnah.

“Saya tidak dapat menyelamatkan barang-barang. Namun saya reda dengan kejadian ini,” katanya.

Berita berkaitan

Tujuh kuarters KTMB terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 1:23 PM