Zuliaty Zulkiffli

“Kami hanya makan coklat dan air laut sepanjang lima hari terputus hubungan sebelum diselamatkan nelayan Indonesia, semalam,” kata nelayan, Mohamad Zamri Abd Rani, 30.

Mohamad Zamri dan anak saudaranya, Amirul Zakaria, 19, dilaporkan hilang di laut sejak Isnin lalu, ketika dalam perjalanan pulang menaiki bot dari Pulau Langkawi ke Kuala Sala, Yan.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilakukan sejak Selasa lalu di kawasan Pulau Segantang Garam, berhampiran Langkawi.

Menurut Mohamad Zamri, bot fiber yang dinaiki mereka itu baru dibelinya di Bukit Malut, Langkawi dengan harga RM8,000 dan dia meminta Amirul menemaninya pulang membawa bot itu ke Kuala Sala.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di kawasan Pulau Segantang Garam, enjin bot itu menghadapi masalah dan gagal dihidupkan walaupun sudah mencubanya beberapa kali.

"Bot fiber itu pula ringan dan arus ombak yang ketika itu kuat menyebabkan bot kami hanyut tanpa arah tuju dan kami tidak dapat berbuat apa-apa.

"Ketika itu kami cuba menghubungi ahli keluarga untuk memaklumkan apa yang berlaku, tetapi gagal disebabkan tiada talian," katanya ketika ditemui di Jeti Kuala Sala, hari ini.

Menurut Mohamad Zamri, mereka kemudian ditemui sekumpulan nelayan Indonesia yang ternampak mereka dalam keadaan letih berhampiran perairan sempadan Indonesia.

"Nelayan Indonesia terbabit memberi kami makanan dan turut membantu membaiki bot yang rosak di tengah laut.

"Perasaan saya hari ini memang tidak dapat digambarkan apabila dapat dan melihat wajah anak dan isteri serta keluarga yang menunggu kepulangan kami," katanya.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, dalam operasi hari ini, bot mangsa diiringi nelayan Indonesia sebelum diserahkan kepada nelayan tempatan untuk dibawa ke Jeti Sungai Burung, Balik Pulau di Pulau Pinang.

"Kedua-dua mereka tidak mengalami kecederaan cuma agak keletihan dan operasi SAR yang bermula sejak Selasa lalu dihentikan pagi tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 6:36 PM
AMIRUL dipeluk neneknya, Rokiah Kadir, 57, sebaik tiba dengan selamat di Jeti LKIM Kuala Sala. FOTO Zuliaty Zulkiffli
AMIRUL dipeluk neneknya, Rokiah Kadir, 57, sebaik tiba dengan selamat di Jeti LKIM Kuala Sala. FOTO Zuliaty Zulkiffli