JOHAN Kategori Antarabangsa, Lisa Shimazaki (tengah) bersama johan Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia, Abdul Matin (kiri) dan johan Kategori  Alam Melayu, Noor Haqim Noor Hamiddon. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
JOHAN Kategori Antarabangsa, Lisa Shimazaki (tengah) bersama johan Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia, Abdul Matin (kiri) dan johan Kategori Alam Melayu, Noor Haqim Noor Hamiddon. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Hayati Ibrahim dan Siti A'isyah Sukaimi

 

[email protected]

PESERTA Jepun, Lisa Shimazaki diumumkan johan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri bagi Kategori Antarabangsa.

Lisa menyampaikan pidato bertajuk Bahasa bukan sekadar alat untuk berkomunikasi, bahasa adalah segala-galanya pada pertandingan peringkat akhir berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Penuntut Universiti Bahasa Asing Tokyo, Jepun berusia 21 tahun itu berkata, kemenangan itu menyuntik semangatnya untuk terus mempelajari serta meningkatkan pengetahuannya mengenai Bahasa Melayu.

"Saya mempelajari bahasa ini sejak tiga tahun lalu dan berpendapat, ia mudah dipelajari. Walaupun kadangkala ada beberapa kosa kata yang saya terlupa, saya tetap terus belajar bahasa ini.

"Pada masa sama, saya memilih Bahasa Melayu kerana menyukai budaya serta apa sahaja mengenai Malaysia dan ini memberi inspirasi kepada saya," katanya ketika ditemui.

Naib johan bagi Kategori Antarabangsa pula adalah peserta dari China, Ma Xiao yang menyampaikan pidato bertajuk Membaharui sistem pendidikan, mengatasi cabaran ekonomi manakala, tempat ketiga milik peserta dari Uzbekistan, Rimajon Sotlikova dengan tajuk pidato Peranan bahasa Melayu di Uzbekistan.

Untuk Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia, peserta Afghanistan, Abdul Matin Mohamed Azeem dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diumumkan johan dengan tajuk pidato Dirgahayu, Bahasa Melayu diikuti naib johan iaitu peserta Yaman, Abdul Rahman Khaled Hasan Saeed dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) dengan tajuk pidato, Mahasiswa tonggak kejayaan 1Malaysia.

Tempat ketiga kategori berkenaan dimenangi peserta Palestin, Hassan Radwan Jamal Elatrash yang juga penuntut UIAM dengan tajuk pidato, Perpaduan di Malaysia daripada kaca mata seorang anak Palestin.

Seterusnya, johan Kategori Alam Melayu iaitu peserta Malaysia, Noor Haqim Noor Hamiddon yang juga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan tajuk pidato, Pesan seniman diikuti naib johan iaitu peserta Malaysia, Muhamad Sharulnizam Md Roni dari UIAM dengan tajuk pidato, Gelora dunia.

Tempat ketiga ialah peserta Singapura, Ahmad Aidil Hadri Sa'dullah dengan tajuk pidato, 'Malaysia dan Singapura-kita saudara sedarah'.

Johan membawa pulang Piala Perdana Menteri, wang tunai RM20,000, hadiah iringan serta sijil manakala, naib johan menerima piala iringan, wang tunai RM12,000, hadiah iringan serta sijil.

Tempat ketiga membawa pulang piala iringan, wang tunai RM8,000, hadiah iringan dan sijil.

Piala dan hadiah disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

PABM adalah acara tahunan Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dan Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (MAKUM).

Untuk acara pada tahun ini yang masuk kali ke-11, PABM membawa tema Pengantarabangsaan Bahasa Melayu selaras dengan konsep memartabatkan Bahasa Melayu pada mata dunia dan seramai 52 peserta dari 35 negara menyertai pertandingan kali ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 3:04 AM