MOUSTAPHA (tengah) bergambar bersama Amirul (kanan) dan Qurbanov ketika malam kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri di UPSI, Tanjung Malim. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
MOUSTAPHA (tengah) bergambar bersama Amirul (kanan) dan Qurbanov ketika malam kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri di UPSI, Tanjung Malim. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
BERNAMA

BAHASA Melayu perlu kembali menjadi bahasa ilmu dan pengetahuan supaya istilahnya kekal segar seiring kemunculan istilah dalam pelbagai bidang antaranya ekonomi, politik, undang-undang termasuk bidang digital dan teknologi.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, semua pihak seperti badan dan agensi dari dalam dan luar negara perlu terus memainkan peranan bagi membudayakan, memartabatkan, memasyarakatkan dan mengantarabangsakan Bahasa Melayu.

“Sebar luaskanlah usaha yang mengangkat bahasa rasmi negara ini. Biar ia kembali lahar dan gempita,” katanya ketika berucap merasmikan Malam Kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) 2019 di Kampus Sultan Azlan Shah Proton City, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching; Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari.

Terdahulu, Mohammad Shatar dalam ucapannya berkata, Bahasa Melayu wajar mendapat pengiktirafan bukan sahaja di peringkat Asia Tenggara tetapi di setiap pelosok dunia merangkumi Asia, Eropah, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Syarikat.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan dalam PABM iaitu kategori Alam Melayu, kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia dan kategori Antarabangsa.

Bagi kategori Alam Melayu ia dimenangi Amirul Iqmal Razlan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), manakala juara kategori pelajar Antarabangsa di Malaysia menjadi milik Moustapha Koutoub Sano yang juga penuntut UIAM dari Guinea, sementara Qurbanov Ozad Nurmuhammad Ugli dari Uzbekistan State University of World Languages dinobatkan pemenang kategori Antarabangsa.

Sementara itu, Moustapha berkata, dia yang berada di Malaysia selama 10 tahun berasa gembira dan bersyukur kerana memenangi pertandingan ini.

“Saya gembira ramai cikgu dan rakan banyak tolong saya. Saya hanya mengambil masa sebulan untuk berlatih dan tidak menyangka boleh menang pertandingan ini,” katanya yang berusia 22 tahun.

Pemenang tempat pertama bagi setiap kategori menerima RM10,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan manakala tempat kedua dan ketiga bagi setiap kategori membawa pulang RM8,000 dan RM5,000 serta piala iringan dan sijil penyertaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 1:20 AM