Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Pelajar dari Uzbekistan, Nargiza Ortikova, diumumkan sebagai Johan Kategori Antarabangsa pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021 (PABM) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, malam tadi.

Nargiza, 24, yang juga penuntut Uzbekistan State World Languages University itu, itu menewaskan dua lagi peserta dari Jepun dan Mali.

Beliau yang mempunyai raut wajah jelita persis gadis Nusantara berkata, sudah mempelajari Bahasa Melayu sejak empat tahun lalu selepas mengambil subjek bahasa itu sebagai bahasa kedua di universitinya.

"Saya sangat teruja dan gembira apabila diumum pemenang malam ini. Saya dedikasikan kemenangan ini kepada jurulatih pidato, guru Bahasa Melayu selain suami saya, Mohammad Rahim, 27, yang menyokong minat saya.

"Saya sangat suka Bahasa Melayu kerana bahasanya indah dengan kosa kata dan tatabahasa yang sangat jelas.

"Di Uzbekistan tidak ramai rakyat Malaysia jadi saya banyak berlatih Bahasa Melayu di dalam kelas selain suami yang turut mengambil subjek Bahasa Melayu di universiti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyampaian hadiah yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Terdahulu Perdana Menteri merasmikan PABM Piala Perdana Menteri 2021, di Dewan Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Naib Canselor UTM, Datuk Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail.

ISMAIL Sabri menyampaikan hadiah kepada Johan Kategori Antarabangsa, Nargiza Ortikova Amirdin Qizi dari Uzbekistan. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ISMAIL Sabri menyampaikan hadiah kepada Johan Kategori Antarabangsa, Nargiza Ortikova Amirdin Qizi dari Uzbekistan. FOTO Nur Aisyah Mazalan

PABM 2021 mengumpulkan 78 peserta dari 36 negara melalui tiga kategori dipertandingkan iaitu Pelajar Antarabangsa, Alam Melayu dan Pelajar Antarabangsa yang menetap di Malaysia.

Sementara itu, tempat kedua bagi kategori sama dimenangi Hana Takahashi, 22, dari Tokyo University of Foreign Studies (TUFS) diikuti Youssouf Haidara, 36, dari Mali, yang menuntut di Universitas Negeri Yogyakarta, Indonesia.

Sementara itu, bagi Kategori Alam Melayu, johan milik peserta negara, Siti Nur Shafika Md Fakharuzi, 22, dari Institut Pendidikan Guru Malaysia, manakala tempat kedua juga milik peserta negara, Munira Muhamad dari Universiti Sains Islam Malaysia diikuti tempat ketiga dimenangi Muhammaf Iqbaal Syakib Suhib, yang juga penuntut Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Unissa) Brunei.

Bagi Kategori Antarabangsa di Malaysia pula, johan menjadi milik Aminata Koutoub Sano, 21, dari Guinea dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), diikuti Salma Wael Marzouk Abouelsoud Hashem, 20, dari Mesir dan menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tempat ketiga dimenangi dan tempat ketiga, Rubiat Sadia Mim dari Bangladesh, penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Johan bagi setiap kategori membawa pulang Piala Pusingan, wang tunai RM10,000 dan sijil penghargaan.

Bagi naib johan dan tempat ketiga, pemenang membawa pulang wang tunai RM8,000 dan RM5,000 bersama piala dan sijil iringan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 9:11 AM