MAHMOUD Abdel Fattah Ibrahim Essa (kiri), Mohd Akmal Aizat Umar (tengah) dan Joshua Prafitt, bersama piala pusingan masing-masing. FOTO Fariz Iswadi Ismail.
MAHMOUD Abdel Fattah Ibrahim Essa (kiri), Mohd Akmal Aizat Umar (tengah) dan Joshua Prafitt, bersama piala pusingan masing-masing. FOTO Fariz Iswadi Ismail.
Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Joshua Parfitt, 22, dari United Kingdom (UK) dinobatkan sebagai johan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2015 kategori antarabangsa, malam tadi.

Dia yang memilih tajuk 'Penyelesaian Sudah Ada Di Persekitaran Kita' mengetepikan peserta dari Amerika Syarikat (AS) dan Australia.

Sementara johan kategori Alam Melayu disandang peserta Malaysia, Mohd Akmal Aizat Umar, 23, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan tajuk pidato 'Keamanan: Sakitnya Di mana'.

Sementara kategori Peserta Antarabangsa Si Malaysia (PAM) disandang Mahmoud Abdel Fattah Ibrahim Essa dari UIAM dengan tajuk pidato 'Bahasa Jiwa Bangsa'.

Ketiga-tiga pemenang menerima Piala Pusingan Perdana Menteri, Piala Iringan, USD$7,000 (RM27,000) tunai, hadiah iringan dan sijil.

Tempat kedua membawa pulang Piala Iringan, USD$5,000 (RM15,000), hadiah iringan dan sijil.

Tempat ketiga pula memenangi piala iringan, USD$3,000 (RM9,000), hadiah iringan dan sijil.

Hadiah disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Tujuh puluh satu peserta PABM 2015 daripada enam benua iaitu Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, Asia, Afrika dan Oceania berentap bermula 4 Ogos lalu dan pertandingan dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu saringan, separuh akhir dan akhir.

Tahun ini adalah tahun kesembilan penganjuran PABM sejak mula diperkenalkan pada 2007.

PABM

> Johan: Joshua Parfitt (UK)

> Kedua: Emma Cecilia Roberts (Australia)

> Ketiga: Wyatt Gordon (AS)

PAM

> Johan: Mahmoud Abdel Fattah Ibrahim Essa (UIAM)

> Kedua: Waleed Basil Mohammed Ali (UPM)

> Ketiga: Maher G M Abdolrasol (UKM)

ALAM MELAYU

> Johan: Mohd Akmal Aizat Umar (UIAM)

> Kedua: Then Sian Lian (UM)

> Ketiga: Awabeen Samsuding (Thailand)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 12:10 AM